KOTA SAMARAHAN: Keterujaan bagi penyokong pasukan Samarahan untuk menyaksikan perlawanan akhir kempen Piala Premier Sarawak 2026 menentang Kuching di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya Ahad ini (29 November).
Jawatankuasa pengelola, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyediakan empat buah bas khas kepada penyokong Samarahan untuk pergi ke stadium berkenaan pada hari final nanti.
Demikian dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd. Azri Johari kepada Arena Suara Sarawak sebentar tadi.
“Pihak FAS menyediakan empat buah bas untuk kegunaan perjalanan kepada penyokong Samarahan ke Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya pada perlawanan akhir nanti.
“PBBS menyeru kepada semua penyokong turun beramai-ramai ke Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya Ahad nanti untuk memberi sokongan kepada pemain,” tegas Azri.
Beliau berharap dengan penyediaan bas khas itu dapat memberi keselesaan kepada penyokong bertandang ke stadium.
Menurut Azri, bas yang disediakan itu akan berada di tempat khas seperti Sadong Jaya, Asajaya dan Desa Ilmu.
“Bas yang disediakan ini akan mengambil serta menghantar kembali para penyokong selesai perlawanan di stadium nanti,” tambah Azri.
Beliau akui, penyokong ialah pemain ke-12 bagi pasukan Samarahan musim ini.
“Mereka (penyokong) sesungguhnya nadi di sebalik kekuatan pasukan Samarahan musim ini,” tambahnya.


