ARTIKEL

Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi merakam gambar kenangan ketika Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. | Foto: RAMIDI SUBARI

TAHOTECH Tawar Sembilan Program Ijazah Sarjana Muda Baharu Pada 2027


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Teknologi Tun Openg Sarawak (TAHOTECH) bakal menawarkan sembilan program ijazah sarjana muda baharu mulai 2027 dalam usaha memperluas penawaran akademik dan memenuhi keperluan tenaga mahir di Sarawak.

Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, penawaran program baharu itu merupakan langkah penting bagi memperkukuh bidang akademik universiti berkenaan khususnya dalam bidang teknologi dan tenaga.

Antara program akan ditawarkan termasuk Sarjana Muda Teknologi dalam Sains Data (Kepujian), Internet Benda dengan Kecerdasan Buatan, Reka Bentuk Elektronik,
Mekatronik, Industri Berasaskan Agro, Tenaga Boleh Baharu, Minyak dan Gas, Sistem Tenaga Mampan serta Sarjana Muda Kulinologi.

“Penawaran akademik TAHOTECH terus diperkukuh menerusi sembilan program baharu dalam bidang teknologi, insya-Allah akan mula ditawarkan pada 2027,” katanya ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Tambahnya, dari segi pembangunan akademik, TAHOTECH merekodkan enrolmen seramai 3,234 mahasiswa pada 2026, merangkumi 302 pelajar asasi, 1,554 diploma, 1,044 ijazah sarjana muda, 290 sarjana dan 44 doktor falsafah.

Menurutnya, jumlah itu mencerminkan kepelbagaian laluan pendidikan yang ditawarkan, daripada peringkat asas hingga penyelidikan pascasiswazah bagi memenuhi keperluan pembangunan bakat di Sarawak.

“TAHOTECH turut mencatatkan pertumbuhan positif sepanjang 2020 hingga 2026 apabila jumlah mahasiswa meningkat daripada 316 kepada 3,200 orang, manakala program akademik bertambah daripada 13 kepada 33.

“Jumlah staf juga meningkat daripada 81 kepada 307 orang, terdiri daripada 163 staf akademik dan 144 staf bukan akademik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pertukaran nama institusi berkenaan daripada Universiti Kolej i-CATS kepada TAHOTECH juga membuka lembaran baharu dalam usaha memajukan pendidikan tinggi di Sarawak.

Menurutnya, detik bersejarah itu bukan sahaja meraikan kejayaan graduan, malah mencerminkan kematangan dan keupayaan institusi berkenaan sebagai sebuah universiti milik Sarawak.

“Pengiktirafan penaiktarafan kepada status universiti penuh pada 20 Oktober lepas menjadi kemuncak penting perjalanan institusi ini dan membuka tanggungjawab baharu dalam memacu pendidikan tinggi serta pembangunan bakat Sarawak.

“Sebagai sebuah universiti tanggungjawab kita semakin luas. Kita perlu terus meningkatkan mutu pendidikan dan menyediakan pengalaman pembelajaran yang membantu pelajar kita membina ilmu, kemahiran serta keyakinan untuk menghadapi masa hadapan,” jelasnya.

Sementara, beliau memaklumkan seramai 597 graduan diraikan pada majlis konvokesyen kali ini, terdiri daripada 105 graduan sarjana, 81 graduan ijazah sarjana muda dan 411 graduan diploma, termasuk graduan dari i-CATS Miri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

ACL2: Phnom Penh Crown tiba malam ini

KUCHING: Pendahulu Kumpulan H, Phnom Penh Crown FC dijadual tiba di Kuching jam 8 malam ini bagi menghadapi pertemuan penting menentang Kuching City FC dalam