ARTIKEL

Abang Johari menyampaikan skrol Sarjana Pentadbiran Perniagaan kepada wartawan Suara Sarawak, Mohd Zahid Ahmad Zaki, pada Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH. Foto: Ramidi Subari

Graduan TAHOTECH diingatkan terus menimba ilmu selepas ijazah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Graduan University Teknologi Tun Openg Sarawak (TAHOTECH) diingatkan supaya tidak berhenti menimba ilmu selepas memperoleh ijazah, sebaliknya terus meningkatkan kemahiran dan mempersiapkan diri menghadapi perubahan dunia pekerjaan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tamat pengajian bukanlah pengakhiran perjalanan seseorang, sebaliknya permulaan fasa baharu yang menuntut disiplin, kesungguhan dan rasa tanggungjawab.

Beliau berkata, graduan perlu berani menetapkan cita-cita tinggi, namun aspirasi itu hendaklah disertai usaha, kemahiran serta kesediaan menghadapi pelbagai cabaran.

Abang Johari berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH. Foto: Ramidi Subari

“Jangan berhenti belajar selepas memperoleh ijazah.

Dunia pekerjaan sentiasa berubah dan ilmu yang kita miliki hari ini perlu terus diperkukuh.

“Beranilah memasang cita-cita besar, tetapi pastikan cita-cita itu disertai usaha, kemahiran dan kesediaan untuk menghadapi cabaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Majlis itu meraikan seramai 597 graduan daripada pelbagai bidang pengajian yang berjaya menamatkan program masing-masing pada tahun ini.

Abang Johari yang juga Canselor TAHOTECH berkata, graduan mempunyai pelbagai laluan selepas menamatkan pengajian, sama ada memasuki alam pekerjaan, melanjutkan pengajian atau memulakan perniagaan sendiri.

Sehubungan itu, beliau berharap setiap graduan dapat melaksanakan pilihan masing-masing dengan penuh disiplin, kesungguhan dan tanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau berkata graduan dari kawasan luar bandar dan pedalaman tidak seharusnya menghadkan cita-cita hanya kerana latar belakang atau tempat asal mereka.

Menurutnya, anak-anak dari rumah panjang, kampung pesisir dan kawasan pedalaman juga berupaya menjadi jurutera, saintis, pendidik, penyelidik serta pemimpin sekiranya mempunyai ilmu, usaha dan peluang yang sesuai.

“Saya mahu anak-anak dari rumah panjang, kampung pesisir dan pedalaman mempunyai keyakinan bahawa mereka juga mampu menjadi jurutera, saintis, pendidik, penyelidik dan pemimpin.

“Jangan sesekali mengecilkan cita-cita hanya kerana saudara dan saudari berasal dari kawasan luar bandar. Dengan ilmu, usaha dan peluang yang sesuai, saudara dan saudari mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur luar bandar termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik dan kemudahan telekomunikasi perlu diteruskan bagi memastikan masyarakat mempunyai akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi.

Katanya, kemudahan berkenaan turut membantu memudahkan pengusaha membawa hasil ke pasaran, selain membuka ruang kepada pembangunan pertanian, pelancongan komuniti, perusahaan makanan dan industri kreatif sebagai sumber pendapatan penduduk luar bandar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU