ARTIKEL

Produktiviti buruh Malaysia naik 4.4 peratus kepada RM48.20 sejam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Produktiviti buruh Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada RM48.20 bagi setiap jam bekerja pada suku ketiga 2026, didorong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh serta peningkatan aktiviti dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pertumbuhan tersebut mencerminkan momentum positif produktiviti buruh negara meskipun kadarnya lebih perlahan berbanding 5.5 peratus yang direkodkan pada suku tahun kedua 2026.

“Produktiviti buruh Malaysia terus mengekalkan momentum positif pada suku ketiga 2026, dengan nilai ditambah per jam bekerja meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun.

“Prestasi yang memberangsangkan ini didorong oleh pengembangan ekonomi 5.5 peratus, manakala jumlah jam bekerja meningkat 1.0 peratus kepada 9.7 bilion jam, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan berterusan produktiviti buruh,” menurut DOSM dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas lanjut, DOSM memaklumkan bahawa produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah bagi setiap penduduk bekerja turut meningkat 4.2 peratus berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya.

“Nilai ditambah bagi setiap penduduk bekerja meningkat kepada RM27,788 seorang berbanding RM26,598 seorang pada suku tahun kedua, manakala jumlah penduduk bekerja bertambah 1.2 peratus kepada 16.8 juta orang.

“Pada peringkat sektor, pembuatan menerajui pertumbuhan produktiviti buruh per jam bekerja dengan peningkatan 6.9 peratus, diikuti pembinaan sebanyak 6.4 peratus dan perkhidmatan 4.2 peratus.

“Sektor pertanian pula kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 1.9 peratus selepas mengalami penguncupan 4.4 peratus pada suku sebelumnya,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelas DOSM, sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan penyusutan produktiviti sebanyak 5.0 peratus berbanding pertumbuhan 9.1 peratus pada suku tahun kedua.

“Sementara itu, sektor pembuatan turut mencatat prestasi tertinggi bagi produktiviti yang diukur berdasarkan nilai ditambah setiap penduduk bekerja, dengan pertumbuhan 7.4 peratus.

“Ia diikuti sektor pembinaan yang berkembang 5.4 peratus, perkhidmatan 4.1 peratus dan pertanian 0.7 peratus, manakala perlombongan dan pengkuarian menguncup 5.5 peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu, DOSM menjelaskan bahawa peningkatan produktiviti yang berterusan mencerminkan keupayaan ekonomi Malaysia untuk menghasilkan nilai ekonomi lebih tinggi meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran luar.

“Peningkatan berterusan produktiviti buruh Malaysia mencerminkan keupayaan ekonomi untuk menjana output yang lebih tinggi dalam keadaan ketidaktentuan persekitaran luaran,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, DOSM menekankan kepentingan memperluas kegiatan ekonomi bernilai tambah tinggi, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta menggalakkan inovasi bagi mengekalkan momentum pertumbuhan produktiviti negara.

Usaha berkenaan selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 yang memberikan tumpuan kepada peningkatan produktiviti, pengukuhan daya tahan ekonomi serta pembangunan industri yang lebih berdaya saing.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU