KUCHING: Kontinjen Sarawak membawa pulang dua gelaran naib juara dan satu tempat keempat menerusi acara petanque, dart serta boling tenpin pada Liga Sukan Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 yang melabuhkan tirai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak memaklumkan, pencapaian tersebut diraih menerusi Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman dalam acara petanque dan Noor Asmah Junaidi dalam acara dart, manakala Wagiman Kassim menamatkan saingan boling di kedudukan keempat.

“Penyertaan ini turut mencerminkan komitmen untuk menggalakkan warga emas kekal aktif, sihat dan berdaya saing menerusi sukan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kontinjen diharapkan dapat mengharumkan nama Sarawak serta membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus mencipta kejayaan,” menurut JBS Sarawak.

Kejayaan itu sekali gus merealisasikan hasrat kontinjen negeri untuk memberikan saingan terbaik pada kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 16 November lalu, selain membuktikan usia bukan penghalang untuk kekal aktif dalam sukan.
“Pencapaian tersebut bukan sahaja mengharumkan nama Sarawak, malah menjadi dorongan kepada lebih ramai warga emas untuk terus mengamalkan gaya hidup aktif dan mengambil bahagian dalam pertandingan sukan mengikut kemampuan masing-masing,” kata JBS Sarawak.

Kejohanan sulung anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi JBS Negara itu menghimpunkan seramai 360 peserta daripada 15 kontinjen negeri, selain 150 pegawai dan petugas teknikal.
Tiga acara dipertandingkan di lokasi berasingan, iaitu petanque di Arena Petanque Kuala Lumpur, dart di Menara KBS, Putrajaya, dan boling tenpin di Alam Lanes, Kuala Lumpur.
Sementara itu, majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan di Dewan Bankuet Casa 4, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, pada 16 November lalu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.
Turut hadir Pengarah JBS Sarawak, Lamat Nyalau, bersama Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan JBS, Fatimah Abdul Rahmah, bagi menyaksikan penyampaian hadiah kepada peserta yang berjaya.



