ARTIKEL

Mordi Bimol

Mordi Bimol tidak bertanding PRU Sarawak, beri laluan pemimpin Dayak DAP

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 bagi membuka laluan kepada lebih ramai pemimpin Dayak dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk diketengahkan sebagai calon pilihan raya.

Mordi yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan sendiri bagi memberikan peluang kepada kepimpinan baharu, khususnya dari kawasan majoriti Dayak, untuk memainkan peranan lebih besar dalam parti.

Menurutnya, beliau memahami keputusan itu mungkin berbeza daripada harapan sebahagian masyarakat yang sebelum ini menyatakan sokongan supaya beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru.

“Keputusan untuk tidak bertanding ini dibuat atas pertimbangan saya sendiri, dengan hasrat untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pemimpin dalam DAP, khususnya dari kawasan majoriti masyarakat Dayak.

“Saya percaya kekuatan sesebuah parti tidak seharusnya bergantung kepada beberapa individu sahaja. Sebaliknya, kita perlu membina barisan kepimpinan yang lebih luas, kukuh dan berkeupayaan untuk menggerakkan perjuangan secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keputusan tidak bertanding di peringkat DUN tidak akan menjejaskan komitmennya sebagai Ahli Parlimen Mas Gading untuk terus menjaga kepentingan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Khusus kepada masyarakat Tasik Biru, saya berharap sesiapa sahaja yang dipilih sebagai ADUN nanti dapat menjalinkan kerjasama yang baik.

“Saya percaya kepentingan rakyat mesti sentiasa mengatasi kepentingan politik individu. Rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada persaingan peribadi, perbezaan pendapat atau ego politik wakil rakyat.

“Sebaliknya, kita perlu mempunyai kesediaan untuk duduk semeja, berbincang secara terbuka dan bekerjasama demi mencari penyelesaian terbaik untuk masyarakat,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata parti itu perlu terus melahirkan pemimpin Dayak berwibawa yang memahami aspirasi masyarakat setempat serta mampu memperluas penyertaan dan kepimpinan masyarakat berkenaan.

“DAP juga perlu terus melahirkan lebih ramai pemimpin Dayak yang berwibawa, memahami aspirasi masyarakat setempat dan mampu membawa perjuangan parti ke kawasan-kawasan Dayak.

“Inilah antara usaha penting untuk memastikan kepimpinan Dayak terus berkembang dan mempunyai kesinambungan pada masa hadapan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata beliau akan memberikan sokongan kepada calon DAP di Opar, Lim Nee Kon, yang mempunyai keturunan campuran Salako-Cina serta dibesarkan dengan adat dan budaya masyarakat Salako.

“Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan parti dan calon di Opar, saya akan menggerakkan jentera serta memberikan bantuan yang sewajarnya bagi membantu kempen,” ujarnya.

Beliau turut menyuarakan harapan supaya semua kerusi yang ditandingi DAP menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi memberikan pilihan lebih jelas kepada pengundi tanpa berlaku perpecahan undi akibat pertandingan pelbagai penjuru.

Kenyataan itu menyusuli pengumuman tujuh lagi calon DAP bagi PRU Sarawak Ke-13 pada Ahad lalu, termasuk bekas pegawai polis, Lim Nee Kon, yang dipilih bertanding di DUN Opar.

DAP turut mengesahkan tidak akan meletakkan calon di Tasik Biru, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan Mordi bertanding di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, pada 29 Oktober lalu, Mordi menyatakan kesediaan untuk bertanding di Tasik Biru sekiranya dipilih kepimpinan DAP.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU