ARTIKEL

Datuk Seri Tiong King Sing

Tiong: PDP bukan alat tawar-menawar politik mana-mana individu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) bukan alat tawar-menawar politik mana-mana individu untuk mendapatkan kerusi pilihan raya atau jawatan dalam kerajaan, tegas Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing susulan pengunduran dua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti itu.

Beliau berkata, PDP tidak sepatutnya dipersalahkan apabila kepentingan atau cita-cita politik peribadi seseorang tidak dipenuhi, sedangkan parti itu telah menunjukkan keterbukaan dan kelonggaran dalam menerima bekas pemimpin serta ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menurutnya, keputusan politik perlu berlandaskan kepentingan rakyat dan pembangunan Sarawak, bukannya semata-mata untuk mendapatkan pencalonan, pelantikan menteri atau jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

“Jika anda mempunyai agenda politik sendiri, mahu mendapatkan kerusi atau menjadikan kerusi sebagai bahan tawar-menawar politik, itu adalah keputusan anda. Tetapi jangan heret PDP ke dalam perkara tersebut.

“Parti kami bukan alat tawar-menawar politik sesiapa. Kami telah menunjukkan rasa hormat dan keikhlasan, namun tidak sepatutnya dijadikan pihak yang dipersalahkan apabila kepentingan atau agenda politik peribadi tidak dipenuhi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu menyusuli tindakan penyandang DUN Bawang Assan, Datuk Sri Wong Soon Koh, dan penyandang DUN Engkilili, Dr Johnichal Rayong Ngipa, yang mengumumkan pengunduran daripada PDP semalam, berkuat kuasa 22 November lalu.

Mengulas lanjut, Tiong mempersoalkan pendirian Johnichal sama ada kepentingan rakyat dan pembangunan Sarawak benar-benar menjadi keutamaan atau keputusan politiknya lebih tertumpu kepada masa depan serta kedudukan peribadi.

“Saya mempunyai satu soalan kepada Johnichal. Adakah kepentingan rakyat dan pembangunan Sarawak menjadi keutamaannya atau semuanya hanya berkaitan masa depan serta kedudukan politik sendiri?

“Saya sendiri berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Parlimen biasa sebelum diberikan peluang menjadi menteri pada penggal keenam. Pengalaman ini juga pernah saya kongsikan dengan beliau.

“Pemimpin politik sepatutnya terlebih dahulu membuktikan kemampuan melalui khidmat kepada rakyat dan memperoleh keyakinan mereka, bukannya menilai layanan parti semata-mata berdasarkan pencalonan atau jawatan yang diberikan,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, PDP sebelum ini telah memberikan kelonggaran khas kepada bekas ahli PSB untuk menyertai struktur kepimpinan parti tanpa perlu memenuhi syarat keahlian minimum dua tahun seperti yang ditetapkan dalam peraturan sedia ada.

Menurutnya, langkah tersebut dibuat bagi memastikan proses penyatuan kedua-dua kumpulan dapat dilaksanakan dengan baik, selain memberikan ruang kepada bekas pemimpin PSB memainkan peranan dalam organisasi PDP.

“Pada asalnya, PDP mempunyai 50 jawatan dalam Majlis Tertinggi. Ketika Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali pada 2023, kita sengaja menyediakan kekosongan bagi menempatkan ahli PSB yang bakal menyertai parti.

“Pada perhimpunan tahun ini, kita turut mengambil langkah memperluas struktur kepimpinan daripada 50 kepada 65 jawatan bagi menampung pertambahan ahli keluarga besar PDP.

“Apakah semua usaha ini masih belum mencukupi untuk membuktikan keikhlasan kita?” soalnya.

Beliau berkata, penyusunan semula struktur kepimpinan itu bertujuan memperkukuh PDP, meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat serta menyokong pembangunan ekonomi Sarawak.

Bagaimanapun, beliau turut membangkitkan percanggahan jumlah keahlian bekas PSB yang dikatakan akan menyertai PDP ketika perbincangan awal penyatuan kedua-dua pihak.

“Pada peringkat awal perbincangan, saya dimaklumkan kira-kira 40,000 ahli PSB akan menyertai PDP.

“Kemudiannya angka itu menjadi lebih 8,300 orang, manakala sistem kita merekodkan kurang daripada 7,000 permohonan keahlian daripada kumpulan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, PSB dibubarkan pada 2024 sebelum bekas pemimpin dan ahlinya menyertai PDP sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama politik dalam GPS.

Wong dan Johnichal merupakan antara pemimpin PSB yang menyertai PDP selepas masing-masing memenangi kerusi Bawang Assan dan Engkilili atas tiket PSB pada PRU Sarawak Ke-12 pada 2021.

Pada 6 April 2024, Tiong mengumumkan pelantikan Wong bersama dua lagi bekas pemimpin kanan PSB ke jawatan tertinggi PDP susulan penyertaan mereka dalam parti berkenaan.

Sementara itu, Tiong turut menyentuh pendirian Wong yang berulang kali menyatakan sokongan terhadap GPS dan Premier Abang Johari.

Menurutnya, PDP sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang benar-benar menyokong GPS dan kepentingan Sarawak, namun beliau turut meminta Wong menilai semula kenyataan serta kritikan terdahulunya terhadap kepimpinan Premier.

“PDP akan terus mempertahankan reputasi dan perpaduan dalaman parti serta berhak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya tuduhan tidak berasas terhadap parti itu berterusan.

“Rakyat mahukan pemimpin yang memberikan perkhidmatan dan membawa kemajuan kepada Sarawak, bukannya terus bertelagah mengenai jawatan serta kedudukan politik.

“Pendirian kita tidak berubah, iaitu menghormati proses membuat keputusan GPS, mempertahankan kepentingan sah PDP dan sentiasa mengutamakan rakyat,” tegasnya.

Terdahulu, Wong yang juga bekas Naib Presiden Kanan PDP mengumumkan keputusan tersebut selepas mendapati hala tuju politik parti itu tidak lagi selaras dengan matlamat dan persefahaman asal yang mendorong beliau menyertai PDP selepas pembubaran PSB pada 2024.

Beliau yang telah berkhidmat hampir 35 tahun sebagai wakil rakyat Bawang Assan turut mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, sebaliknya bersedia memberikan laluan kepada generasi muda.

Bagaimanapun, Wong menegaskan pengundurannya tidak bermakna beliau menarik balik sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, Johnichal yang sebelum ini merupakan Naib Presiden PDP turut melepaskan semua jawatan dalam parti atas pertimbangan prinsip politik, aspirasi masa depan serta pandangan penyokong dan pengundi di Engkilili.

Beliau juga menegaskan komitmennya untuk terus menyokong GPS dan kepimpinan Abang Johari, selain meneruskan khidmat kepada masyarakat Engkilili.

BERITA LAIN

Semak sebelum kongsi, elak hasutan di media sosial

PAKAN: Kemudahan media sosial wajar dimanfaatkan secara positif sebagai saluran untuk mendapatkan maklumat, mengeratkan hubungan dan berkongsi perkara bermanfaat tanpa mengorbankan keharmonian. Penasihat Pejabat Premier

BERITA TERBARU

Futsal TFL: AFA sapu bersih dua kategori Bawah 12 Tahun

SAMARAHAN: Pasukan dari Australia, Australian Futsal Association (AFA), mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya merangkul kejuaraan berganda dalam Kejohanan Futsal TFL Piala Perdana Siri Ke-2 2026