PAKAN: Kemudahan media sosial wajar dimanfaatkan secara positif sebagai saluran untuk mendapatkan maklumat, mengeratkan hubungan dan berkongsi perkara bermanfaat tanpa mengorbankan keharmonian.
Penasihat Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Datuk Seri William Mawan Ikom, berkata penggunaan platform itu secara tidak bertanggungjawab boleh membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu, provokasi dan hasutan.
Sehubungan itu, katanya, setiap individu perlu lebih berhati-hati ketika menerima sesuatu kandungan dengan membuat semakan terlebih dahulu bagi mengelakkan maklumat yang tidak sahih.
“Jangan mudah percaya dengan yang kita lihat atau baca di media sosial kerana tidak semua maklumat yang tersebar adalah benar. Kita perlu menjadi pengguna yang bijak dan bertanggungjawab,” katanya pada Program Santai Bersama Rakyat di Rumah Anthony Sungai Merah, Dayu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebarang perkongsian yang dibuat tanpa meneliti kesahihan sumber boleh menimbulkan salah faham dan mencetuskan perselisihan dalam kalangan masyarakat.
Justeru, katanya, masyarakat juga perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan kandungan yang berunsur fitnah, provokasi atau hasutan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan hubungan baik yang telah lama terbina dalam komuniti.
“Bagi saya, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam kehidupan bermasyarakat, namun ia perlu diurus secara rasional dan tidak dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan melalui platform digital.
“Saya menyeru masyarakat khususnya di Pakan supaya menggunakan media sosial sebagai medium yang membawa manfaat, di samping terus memelihara perpaduan dan keharmonian sebagai asas kekuatan kita selama ini,” katanya.

