SIBU: Seorang wanita warga emas berusia 64 tahun maut selepas digilis sebuah bas dalam kemalangan jalan raya di kawasan Pasar Sibu Sentral hari ini.
Mangsa, dikenali sebagai Baya Ramba, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.38 pagi.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral yang dimaklumkan tiba di lokasi empat minit kemudian dan mendapati mangsa berada di bawah bas selepas digilis.

“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berat itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum jenazahnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Kenneth William itu melibatkan tujuh anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.25 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.
Polis turut berada di lokasi dengan kekuatan dua anggota, manakala KKM menghantar empat petugas bagi membantu operasi berkenaan.


