ARTIKEL

Fasa kedua lampu jalan Puncak Borneo menunggu tender

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan Puncak Borneo akan diteruskan menerusi fasa kedua yang melibatkan laluan dari simpang Balai Biperoh, Kampung Garung hingga ke Kampung Annah Rais.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Jalan dan Udara), Datuk Dr Jerip Susil berkata, permohonan bagi pelaksanaan fasa kedua itu sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan kini menunggu proses tender.

Beliau berkata, projek pemasangan lampu jalan itu dilaksanakan susulan permintaan penduduk kampung di seluruh kawasan Puncak Borneo bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya ketika melalui laluan berkenaan pada waktu malam.

“Pada mulanya, kita memperuntukkan RM3 juta, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk meliputi semua kawasan. Oleh itu, kerja yang dilaksanakan sekarang ialah fasa pertama.

Jerip (tiga kiri) menyaksikan penyerahan tapak projek daripada JKR kepada kontraktor yang dilantik.

“Bagi fasa kedua, kita sudah menetapkan skop kerja dari sini hingga ke Kampung Annah Rais dan berharap tender dapat dikeluarkan tidak lama lagi supaya kerja dapat dimulakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek GKCDA DUN Mambong, Pemasangan Lampu Jalan Fasa 1 (Jalan Puncak Borneo) di Balai Biperoh, Kampung Garung, di sini malam tadi.

Jerip yang juga penyandang DUN Mambong berkata, beberapa laluan lain turut dimasukkan dalam perancangan pemasangan lampu jalan secara berperingkat, termasuk laluan dari Kampung Seratau ke Kampung Mambong, Kampung Mambong ke Kampung Sitang dan Kampung Bangau, Kampung Bawang ke Kampung Git serta Kampung Bayur ke Kampung Jambu.

Katanya, laluan dari Kampung Mambong ke Kampung Seratau turut diberi perhatian kerana keadaan jalan yang gelap tanpa lampu jalan serta kerap berlaku kemalangan.

Menurutnya, pemasangan lampu jalan turut dirancang di beberapa persimpangan yang menghubungkan jalan utama dengan kampung, termasuk laluan dari Simpang Kampung Abang menuju ke Kampung Sapit dan Kampung Kiding.

“Ini semua dalam rancangan supaya kawasan pedalaman dan jalan di kawasan yang mencabar, khususnya kawasan berbukit-bukau, kita adakan lampu jalan untuk mencahayakan. Sebabnya ia mengurangkan risiko mereka yang pulang ke kampung, yang pulang lewat atau awal pagi turun bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Jerip merakamkan penghargaan kepada kontraktor yang berjaya menyiapkan kerja pemasangan lampu jalan fasa pertama empat bulan lebih awal daripada jadual asal.

Katanya, kejayaan menyiapkan kerja lebih awal membolehkan skop pemasangan diperluaskan ke laluan dari Simpang Bunuk hingga ke Kampung Bunuk menggunakan baki masa yang ada.

“Apabila kerja dapat disiapkan lebih awal, pihak kontraktor bertanya apa yang boleh dilakukan dengan baki masa tersebut. Jadi, saya meminta mereka meneruskan pemasangan lampu dari Simpang Binuk hingga ke Kampung Benuk.

“Pihak kontraktor sudah mempunyai lampu untuk pemasangan itu dan mereka juga berjaya melaksanakan kerja dengan cepat walaupun berdepan cabaran di kawasan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, pemasangan lampu jalan itu antara usaha GKCDA memenuhi keperluan penduduk setempat menerusi penyediaan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

Beliau berkata, kemudahan lampu jalan itu diharap dapat mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan keselamatan penduduk, khususnya di laluan antara Kampung Punau dan Kampung Bunuk serta kawasan Kampung Giam.

BERITA LAIN

Sarawak mahu lahirkan saintis bertaraf dunia

KOTA SAMARAHAN: Ketika dunia semakin bergantung pada kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Sarawak mahu melahirkan generasi saintis serta pakar kejuruteraan sendiri bertaraf dunia supaya anak

Projek RM6.3 juta SK Salah Kechil siap lebih awal

TANJONG MANIS: Penantian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Salah Kechil untuk menikmati prasarana pendidikan lebih selesa berakhir apabila projek pembinaan semula sekolah bernilai RM6.3 juta berjaya

BERITA TERBARU

Sarawak mahu lahirkan saintis bertaraf dunia

KOTA SAMARAHAN: Ketika dunia semakin bergantung pada kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Sarawak mahu melahirkan generasi saintis serta pakar kejuruteraan sendiri bertaraf dunia supaya anak