ARTIKEL

Sarawak mahu lahirkan saintis bertaraf dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Ketika dunia semakin bergantung pada kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Sarawak mahu melahirkan generasi saintis serta pakar kejuruteraan sendiri bertaraf dunia supaya anak negeri bukan sekadar menjadi pengguna, tetapi mampu mencipta dan menguasai teknologi masa depan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan bagi menyediakan anak Sarawak menghadapi perubahan landskap ekonomi global.

“Perkembangan teknologi yang semakin pesat termasuk penggunaan robot dalam urusan harian dan penjagaan warga emas, membuktikan bahawa kepakaran dalam bidang sains dan kejuruteraan akan menjadi semakin penting.

“Oleh itu, saya meminta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang menguasai bidang STEM, khususnya sains dan matematik,” katanya.

Abang Johari mengibarkan bendera Sarawak pada majlis perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan. | FOTO: RAMIDI SUBARI

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abang Johari menegaskan, Kerajaan Sarawak turut mengenal pasti 64 program pengajian yang penting bagi menyokong transformasi ekonomi Sarawak, justeru golongan muda perlu mengambil peluang mendalami bidang yang mempunyai kaitan langsung dengan keperluan industri masa depan.

“Kita bukan mahu melahirkan anak kita sekadar jaguh kampung. Kita mahu melahirkan anak Sarawak yang menjadi jaguh dunia supaya mereka dapat membangunkan negeri ini,” tambahnya.

Menurutnya, Samarahan mempunyai kelebihan untuk berkembang sebagai pusat ilmu dan penyelidikan berikutan kewujudan institusi pengajian tinggi serta pelbagai kemudahan penyelidikan yang menyokong pembangunan bidang sains dan teknologi.

Kata beliau, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pembinaan pusat penyelidikan penyakit tropika di Samarahan bagi menjalankan kajian terhadap penyakit baharu, termasuk meneroka potensi biodiversiti Sarawak dalam menghasilkan pendekatan rawatan dan perubatan baharu.

Katanya, penyelidikan berkenaan turut melibatkan kerjasama dengan institusi di Jerman dan Australia bagi memperkukuh kepakaran serta perkongsian ilmu dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata, Samarahan akan terus memainkan peranan penting sebagai pusat penyelidikan strategik negeri, khususnya dalam bidang biodiversiti dan perubatan.

Menurutnya, kawasan itu turut mempunyai pusat penyelidikan biodiversiti dan taman perindustrian biodiversiti yang berpotensi membuka ruang kepada perkembangan industri berasaskan sumber biologi.

Beliau berkata, penyelidikan dalam bidang perubatan integratif yang menggabungkan pendekatan perubatan Timur dan Barat juga merupakan antara bidang baharu yang boleh diterokai bagi memperluas pilihan rawatan pada masa hadapan.

“Samarahan masih lagi menjadi satu pusat penyelidikan strategik. Inilah yang kita kongsikan kepada masyarakat dan khususnya kepada pelajar supaya mereka dapat memilih bidang pengajian yang penting dalam pembangunan ekonomi kita yang berteraskan STEM,” ujarnya.

Abang Johari turut berkata, usaha memperkukuh pendidikan dan penyelidikan itu penting bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga pakar sendiri untuk menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi serta mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar.

Beliau turut menasihati golongan pelajar supaya menggunakan peluang pendidikan sebaik-baiknya, belajar bersungguh-sungguh dan menjadikan ilmu sebagai landasan untuk mengubah kehidupan keluarga serta menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian supaya mampu menghadapi cabaran ekonomi masa depan, sekali gus menjadikan Sarawak sebuah negeri yang berdaya saing di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

BERITA LAIN

Projek RM6.3 juta SK Salah Kechil siap lebih awal

TANJONG MANIS: Penantian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Salah Kechil untuk menikmati prasarana pendidikan lebih selesa berakhir apabila projek pembinaan semula sekolah bernilai RM6.3 juta berjaya

BERITA TERBARU

Bacaan lebih 100 buku seminggu bawa Amber jadi Tokoh NILAM

MUKAH: Keupayaan membaca lebih 100 buku dalam tempoh seminggu menjadi antara pencapaian membanggakan Aviefrinceszalvernia Amber Tompell, yang berjaya merealisasikan impiannya untuk dinobatkan sebagai Tokoh NILAM