MUKAH: Keupayaan membaca lebih 100 buku dalam tempoh seminggu menjadi antara pencapaian membanggakan Aviefrinceszalvernia Amber Tompell, yang berjaya merealisasikan impiannya untuk dinobatkan sebagai Tokoh NILAM hasil minat mendalam terhadap dunia pembacaan.
Amber berkata, minat membaca mula dipupuk sejak Tahun Empat apabila dia menetapkan sasaran untuk menjadi Tokoh NILAM, sekali gus menjadikan pembacaan sebagai sebahagian daripada rutin hariannya.
“Impian ini menjadi pendorong untuk saya terus membaca pelbagai bahan, selain berusaha meningkatkan pengetahuan dan memperluas pemahaman terhadap perkara baharu.
“Sejak Tahun Empat, saya mula membaca kerana mempunyai sasaran untuk menjadi Tokoh NILAM,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas Majlis Apresiasi Bestari Tellian (MABET) Kali Ke-46, hari ini.
Sehubungan itu, Amber memberitahu, dia berasa sangat gembira dan terharu kerana impian yang disimpan sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan dan ini membuktikan usaha yang dilakukan selama ini tidak sia-sia.
Ujarnya, kejayaan tersebut bukan sekadar memperoleh gelaran, sebaliknya menjadi bukti bahawa minat yang disertai kesungguhan dan komitmen mampu membawa seseorang mencapai matlamat yang diinginkan.
Berkongsi mengenai jumlah bacaannya, dalam sehari, dia mampu membaca lebih 30 buku, manakala jumlah keseluruhan bacaannya boleh melebihi 100 buku dalam seminggu, bergantung kepada masa dan kesempatan yang ada.
Keupayaan itu mencerminkan kecintaannya terhadap buku, selain menunjukkan bahawa pembacaan bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang, tetapi sesuatu yang dilakukan dengan penuh minat dan kesungguhan.
Genre fiksyen sains menjadi antara pilihan utama Amber kerana kandungannya yang menarik serta memberi peluang kepadanya meneroka pelbagai idea, imaginasi dan kemungkinan melalui dunia yang dibina dalam sesebuah cerita.
Minat terhadap genre tersebut turut menjadikan aktiviti membaca lebih menyeronokkan, sekali gus mendorongnya untuk terus mencari bahan bacaan baharu yang dapat memenuhi rasa ingin tahu.
Antara buku yang paling disukainya ialah ‘Si Tanggang’, yang memberikan pengajaran mengenai kepentingan menghormati ibu bapa serta tidak melupakan jasa mereka.
“Kisah berkenaan mengingatkan kita sebagai pembaca bahawa kejayaan dan kehidupan yang dinikmati tidak seharusnya menjadikan seseorang lupa terhadap keluarga, khususnya ibu bapa yang banyak berkorban.
“Pengajaran daripada buku itu turut menunjukkan bahawa pembacaan bukan sahaja membantu meningkatkan pengetahuan, malah membentuk nilai murni, sikap dan pemikiran seseorang dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya lagi.
Dalam mengimbangi masa antara membaca, belajar, bermain dan melakukan aktiviti lain, Amber memilih untuk meneruskan pembacaan apabila mempunyai kesempatan, terutama ketika berada dalam suasana yang membolehkannya menumpukan perhatian kepada buku.
Baginya, minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara menjadi kekuatan untuk terus melakukannya tanpa perlu menganggap pembacaan sebagai beban atau kewajipan semata-mata.
Dalam pada itu, pengiktirafan sebagai Tokoh NILAM juga membuka ruang kepadanya untuk terus menetapkan sasaran baharu, khususnya dalam memperbanyakkan koleksi buku serta memperluas bahan bacaan yang dimiliki.
Dia turut menyatakan hasrat untuk mengumpul buku seperti Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Dato Dr Jeniri Amir selepas mendengar perkongsian tokoh berkenaan mengenai minat dan koleksi buku yang dimilikinya.
“Keinginan ini kerana saya sendiri gemar membaca dan melihat buku sebagai sumber ilmu yang boleh dimanfaatkan sepanjang hayat.
“Saya juga sangat gembira menerima hadiah daripada Dr Jeniri dan berharap dapat membaca lebih banyak buku seperti beliau,” tambahnya.

