MUKAH: Tidak mempunyai jadual belajar khusus bukan penghalang buat Earlvinn Edwyn Patrick Eduine untuk mencapai kecemerlangan akademik apabila disiplin diri menjadi keutamaannya dalam menguruskan waktu belajar dan mengulang kaji.
Earlvinn berkata, meskipun tidak menetapkan jadual pembelajaran tertentu, dia sentiasa memastikan masa yang diperuntukkan untuk belajar dan mengulang kaji dipatuhi bagi membantu menguasai setiap mata pelajaran.
“Pengurusan masa yang baik turut memerlukan seseorang memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti yang sedang dilakukan, sama ada ketika belajar mahupun bermain.
“Kalau belajar, saya sentiasa fokus belajar. Kalau bermain pun, saya fokus bermain,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas Majlis Apresiasi Bestari Tellian (MABET) Kali Ke-46, hari ini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, membaca buku teks menjadi antara pendekatan utama dalam memastikan dirinya dapat memahami pelajaran dengan baik dan memperoleh keputusan yang cemerlang.
Ujarnya, buku teks menyediakan bahan pembelajaran yang mencukupi dan lengkap, sekali gus menjadi sumber rujukan penting dalam menguasai setiap mata pelajaran yang dipelajari di sekolah.
“Saya sentiasa berusaha memahami kandungan buku teks melalui pembacaan, selain memastikan ilmu yang dipelajari dapat dikuasai dengan baik.
“Pendekatan ini amat membantu dalam membina asas pembelajaran yang kukuh, sekali gus memudahkan proses mengulang kaji apabila menghadapi peperiksaan,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai mata pelajaran kegemaran, katanya, Sains menjadi pilihan kerana menyediakan pelbagai aktiviti amali yang membolehkan sesuatu konsep dipelajari secara lebih jelas dan mudah difahami.
Jelasnya, pembelajaran melalui amali memberikan pengalaman berbeza berbanding sekadar membaca teori, sekali gus meningkatkan minatnya terhadap mata pelajaran berkenaan.
Bagaimanapun, Matematik merupakan mata pelajaran yang dianggap paling mencabar, namun dia tidak menjadikan kesukaran itu sebagai alasan untuk berputus asa.
Sebaliknya, Earlvinn percaya latihan berterusan menjadi pendekatan terbaik untuk mengatasi kesukaran dalam mata pelajaran tersebut, selain membantunya memahami konsep dan menyelesaikan soalan dengan lebih baik.
Katanya, setiap cabaran dalam pembelajaran perlu dihadapi dengan usaha dan kesabaran kerana penguasaan sesuatu mata pelajaran memerlukan masa serta latihan yang konsisten.
“Ketika berasa penat, bosan atau kurang bersemangat untuk belajar, saya memilih untuk melayari Internet bagi mencari perkara yang mampu menarik minat saya semula.
“Aktiviti tersebut membantu saya mengembalikan semangat, selain memberikan ruang untuk berehat seketika sebelum kembali memberikan tumpuan kepada pembelajaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, Earlvinn memberitahu, ibu bapanya merupakan individu yang paling banyak memberikan sokongan dan dorongan sepanjang perjalanannya sebagai murid, khususnya dalam menghadapi cabaran serta memastikan dirinya terus berusaha mencapai kejayaan.
Pengiktirafan sebagai Tokoh Murid Cemerlang disifatkan sebagai satu pencapaian yang menggembirakan, selain menjadi dorongan untuk terus meningkatkan prestasi akademik dan mengembangkan potensi diri.
Dia turut menyimpan cita-cita untuk menjadi saintis pada masa hadapan kerana minat mendalam terhadap mata pelajaran Sains.
Tambahnya, minat tersebut mendorongnya untuk terus mempelajari pelbagai perkara berkaitan bidang sains, selain berharap dapat meneroka ilmu baharu dan menyumbang kepada kemajuan dalam bidang berkenaan.

