KOTA SAMARAHAN: Sekadar mencuba nasib buat pertama kali, Jefri Johari tidak menyangka kehadirannya ke Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan membawa pulang rezeki besar apabila memenangi sebuah kereta Perodua Axia.
Kemenangan itu menjadi kejutan manis buat Jefri, yang berasal dari Kampung Melayu, Kota Samarahan, lebih-lebih lagi beliau tidak pernah menyertai sebarang cabutan bertuah sebelum ini.
Katanya, beliau hanya mengambil keputusan untuk mencuba tanpa meletakkan harapan terlalu tinggi, namun tidak menyangka percubaan pertama itu terus membuahkan hasil.
“Memang gembira. Mungkin ini rezeki kami tahun ini apabila mendapat kereta. Kami cuma mencuba. Orang kata kalau ada rezeki, adalah. Kalau tiada, tidak mengapa. Kita cuba dan akhirnya dapat,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi kegembiraan selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah pada program berkenaan.
Menurut Jefri, beliau menetap tidak jauh dari lokasi penganjuran program di Halaman Samarahan, sekali gus menjadikan kunjungan itu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.
Kejayaan Jefri mencuri perhatian dalam penganjuran SKS Bahagian Samarahan yang mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 45,000 pengunjung direkodkan hadir setakat jam 5 petang hari ini.
Program berkenaan merupakan siri ke-11 penganjuran SKS yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan negeri bagi mendekatkan perkhidmatan awam kepada masyarakat, selain memberikan maklumat mengenai pembangunan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan, kesihatan, bantuan sosial serta pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi pameran dan kaunter agensi yang disediakan sepanjang program berlangsung.



