KOTA SAMARAHAN: Penduduk Samarahan yang berulang-alik ke Kuching bakal menikmati kemudahan pengangkutan awam moden apabila perkhidmatan Transit Aliran Automasi (ART) laluan Rembus-Northbank dijangka siap dan mula beroperasi pada hujung Disember ini atau awal Januari tahun depan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan sistem ART berkuasa hidrogen itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menangani kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di laluan Samarahan-Kuching.
Menurutnya, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, khususnya motosikal, mencerminkan perubahan kemampuan ekonomi penduduk yang semakin baik, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap sistem pengangkutan awam yang lebih cekap.
“Untuk membantu kita, kita buat pengangkutan awam moden iaitu ART dari Samarahan sampai Kuching. Bolehlah bulan 12 (Disember) ini, hujung 12 ataupun awal bulan satu (Januari), ART akan mula dari Rembus Samarahan hinggakan Northbank di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, penggunaan teknologi hidrogen dalam sistem ART turut mencerminkan kesungguhan Sarawak untuk berada di hadapan dalam penerokaan teknologi pengangkutan masa depan.
Katanya, Sarawak perlu berani melaksanakan teknologi baharu kerana penggunaan tenaga lebih bersih semakin penting dalam menghadapi perubahan ekonomi dan cabaran alam sekitar global.
“Orang Samarahan beruntung. Ada ART guna hidrogen. Yang pertama di kawasan Asia ini. Saya berani kerana ini adalah masa depan dunia. Kita mesti ke hadapan dalam teknologi dunia hari ini,” tegasnya.
Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak turut merancang membina rangkaian jalan raya baharu yang menghubungkan Samarahan dengan beberapa kawasan lain, termasuk Asajaya, Semunjan, Gedong dan Serian.
Katanya, laluan baharu dari Jambatan Sejingkat akan merentasi Kampung Tanjung Bako dan Binyok sebelum menuju ke Asajaya, seterusnya dihubungkan ke Semunjan, Gedong dan Munggu Kopi di Serian.
Menurutnya, pembangunan jalan raya berkembar itu akan membuka lebih banyak kawasan untuk pembangunan perumahan dan kegiatan ekonomi, selain meningkatkan kemudahan perhubungan antara daerah.
Beliau turut mendedahkan perancangan membangunkan kawasan hijau di belakang Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan keluasan kira-kira dua kali ganda Hyde Park di London.
“Kawasan hijau ini akan dihubungkan melalui Boulevard hingga ke Kuching menerusi Jambatan Sejingkat, sekali gus melengkapkan perancangan pembangunan bandar yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.
“Pembangunan infrastruktur dan sistem pengangkutan moden itu akan memperkukuh hubungan antara Kuching dengan Samarahan, selain menyediakan asas lebih kukuh untuk pertumbuhan kawasan berkenaan pada masa hadapan,” ujarnya.

