ARTIKEL

Abdul Karim ketika berucap pada program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, hari ini.

Pengundi muda diseru tunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Disember

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Pengundi muda berusia 18 hingga 25 tahun diseru menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 yang berlangsung pada 12 Disember ini.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penurunan usia kelayakan mengundi kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik menyaksikan peningkatan jumlah pengundi muda.

Katanya, golongan itu kini merangkumi kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada jumlah pengundi di setiap kawasan sekali gus memainkan peranan penting dalam menentukan kepimpinan negeri kelak.

“Peranan anak muda amat penting dalam menentukan siapa yang akan mentadbir negeri dan negara kita pada masa akan datang. Dalam hal ini, ibu bapa juga memainkan peranan yang sama,” katanya.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya itu berkata demikian ketika berucap pada program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap pengundi khususnya golongan muda di kawasan Samarahan termasuk Asajaya, Stakan, Muara Tuang, Simunjan, Gedong dan Sebuyau keluar mengundi bagi memastikan kemenangan besar buat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, kawasan berkenaan merupakan kubu kuat GPS dan beliau berharap sokongan sama terus diberikan pada 12 Disember ini.

“Kepada golongan belia, mungkin ada yang tidak tahu bahawa apabila mencapai usia 18 tahun, mereka secara automatik layak menjadi pengundi. Justeru, jangan tidak turun mengundi. Kita bukan sahaja mahu menang besar, tetapi juga mahu kadar keluar mengundi yang tinggi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa ramai anak muda Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia dan Sabah mungkin tidak berpeluang pulang untuk mengundi dan itu juga merupakan antara kebimbangan beliau.

“Jadi, saya berharap anak-anak muda dan pengundi yang berada di Samarahan dan kawasan sekitarnya dapat keluar mengundi bagi memastikan kemenangan GPS.

“Itulah cara kita menunjukkan penghargaan dan berterima kasih kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas segala usaha yang dibawa selama ini,” tegasnya.

Mengenai penganjuran SKS Bahagian Samarahan, beliau memaklumkan bahawa jumlah kehadiran pengunjung melebihi kapasiti 5,000 tempat duduk yang disediakan di khemah utama petang tadi sehingga sebahagian pengunjung memenuhi ruang Sarawak Kitchen dan kawasan pameran.

“Alhamdulillah, jumlah pengunjung hari ini (semasa majlis perasmian) melebihi kapasiti 5,000 tempat duduk yang disediakan, malah ramai yang memenuhi ruang Sarawak Kitchen dan kawasan pameran.

“Terima kasih kepada semua yang hadir walaupun program ini berlangsung pada hari bekerja. Kita pada awalnya bimbang tidak dapat mengumpulkan pengunjung yang ramai,” jelasnya.

Beliau menyatakan bahawa jumlah pengunjung yang hadir ke pameran dan tapak SKS di Samarahan sehingga petang tadi mencecah lebih 40,000 orang.

Meskipun penganjuran di sini hanya berlangsung selama dua hari berbanding tiga hari di lokasi lain, program berkenaan tetap berjalan lancar.

BERITA LAIN

Sarawak mahu lahirkan saintis bertaraf dunia

KOTA SAMARAHAN: Ketika dunia semakin bergantung pada kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Sarawak mahu melahirkan generasi saintis serta pakar kejuruteraan sendiri bertaraf dunia supaya anak

BERITA TERBARU

Sarawak mahu lahirkan saintis bertaraf dunia

KOTA SAMARAHAN: Ketika dunia semakin bergantung pada kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Sarawak mahu melahirkan generasi saintis serta pakar kejuruteraan sendiri bertaraf dunia supaya anak