ARTIKEL

Datuk Dr Juanda Jaya disambut mesra sebaik tiba bagi program bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tinak Tian, Matu.

Kampung Tian dapat masjid RM15 juta, reka bentuk serap identiti Melanau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MATU: Bukan sekadar tempat menunaikan ibadah, masjid baharu Kampung Tian bakal menjadi pusat tumpuan masyarakat menerusi ruang aktiviti sosial dan peluang ekonomi buat penduduk setempat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek berkenaan akan dibangunkan melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dengan peruntukan kira-kira RM15 juta.

Katanya, reka bentuk fasa pertama masjid itu sudah diluluskan, manakala peruntukan projek turut disediakan dan kini hanya menunggu beberapa proses pentadbiran sebelum tender dilaksanakan.

“Reka bentuk masjid ini mengambil kira identiti dan seni bina masyarakat Melanau, selain menggabungkan fungsi keagamaan dan kemasyarakatan dalam satu kompleks.

“Ruang solat akan ditempatkan di tingkat atas, manakala bahagian bawah menyediakan ruang terbuka yang boleh dimanfaatkan untuk perhimpunan serta pelbagai aktiviti masyarakat,” katanya kepada media.

Juanda berkata, ruang berkenaan turut berpotensi dijadikan lokasi jualan pada hujung minggu atau tapak penganjuran pelbagai program, sekali gus membuka ruang kepada penduduk menjana pendapatan.

Katanya, pendekatan itu menjadikan masjid berkenaan lebih daripada sekadar pusat ibadah apabila turut berperanan sebagai pusat sosial dan ekonomi masyarakat.

Beliau berkata, pembinaan masjid baharu itu sangat diperlukan berikutan kapasiti masjid sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menampung jumlah jemaah, terutama ketika solat Jumaat dan program keagamaan.

“Kampung Tian antara perkampungan terbesar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng dan sudah tiba masanya penduduk menikmati kemudahan masjid yang lebih luas, selesa serta mampu memenuhi keperluan mereka,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU