KOTA SAMARAHAN: Pendedahan awal terhadap teknologi dron dan pencetakan tiga dimensi (3D) bakal menjadi antara pendekatan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan minat murid sekolah rendah aliran Cina terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, cadangan itu ialah langkah susulan yang sedang dibincangkan selepas projek pemasangan papan pintar di sekolah rendah aliran Cina di seluruh negeri hampir selesai.

Menurutnya, sebahagian peruntukan pendidikan boleh dimanfaatkan bagi menyediakan peralatan teknologi berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada murid meneroka bidang sains melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal.
“Pendedahan kepada penggunaan dron dan pencetak 3D sejak peringkat sekolah rendah mampu menarik minat kanak-kanak terhadap teknologi serta mendorong mereka mendalami bidang berkaitan pada peringkat pengajian seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Blok Pengajaran Fasa Kedua dan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak SJK(C) Chung Hua Bako, di sini, hari ini.
Katanya, pendekatan itu selaras dengan matlamat Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan penyertaan generasi muda dalam bidang STEM sebagai persediaan melahirkan lebih ramai tenaga mahir pada masa hadapan.

Dr. Sim menambah, projek pemasangan lebih 800 papan pintar yang melibatkan 223 sekolah rendah aliran Cina di Sarawak kini hampir siap.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka membolehkan hampir semua bilik darjah di sekolah berkenaan dilengkapi teknologi pembelajaran digital bagi menyokong proses pengajaran yang lebih interaktif.

Dalam pada itu, Dr. Sim berkata, Kerajaan Sarawak terus meningkatkan sokongan terhadap sekolah aliran Cina menerusi penyediaan peruntukan serta kemudahan pembelajaran yang lebih baik.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluluskan peningkatan peruntukan kepada sekolah aliran Cina pada awal tahun ini bagi memperkukuh kemudahan pendidikan.
“Langkah itu turut membolehkan sekolah aliran Cina menikmati sokongan kewangan yang setara dengan sekolah mubaligh,” jelasnya.
Mengulas peluasan penggunaan teknologi di sekolah, Dr. Sim berkata, Kerajaan Sarawak turut menyasarkan semua sekolah di negeri ini, termasuk di kawasan pedalaman, dilengkapi papan pintar menjelang 2030.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan murid di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada menikmati kemudahan pembelajaran berasaskan teknologi.
“Sarawak bukan sahaja berhasrat memperkukuh kedudukan ekonomi negeri, malah mahu melahirkan masyarakat yang mempunyai pengetahuan serta kemahiran teknologi tinggi.
“Matlamat itu penting supaya Sarawak tidak hanya dikenali kerana kekayaan sumber minyak dan gas, sebaliknya turut diiktiraf menerusi keupayaan modal insan dalam bidang sains dan teknologi,” jelasnya.


