KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM3,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana berjudi dalam talian di sebuah kafe, iaitu kesalahan berjudi di tempat awam.
Aidit, 22, mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah DK Afigah Alya AK Johari @ PG Johari.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika sabit kesalahan.
Dia didakwa terlibat dalam perjudian di tempat awam, iaitu sebuah kafe di Jalan Gold Jade, sekitar jam 10.30 pagi pada 14 November lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan pegawai polis mengetuai pasukannya menjalankan intipan selama 15 minit di sebuah kafe sebelum melakukan serbuan sempena Ops Dadu.
Semasa serbuan dilakukan, beberapa orang pelanggan melarikan diri manakala tertuduh berjaya ditangkap ketika leka berjudi sambil duduk di hadapan sebuah meja yang diletakkan di kaki lima premis.
Sebuah telefon pintar jenama Huawei dan sekeping kertas yang tertulis kata laluan untuk berjudi turut dirampas daripada tertuduh.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh terlibat dalam aktiviti perjudian di tempat awam, manakala telefon pintar miliknya turut disahkan positif mengandungi unsur perjudian oleh pakar judi.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Radhiah Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



