ARTIKEL

Dr. Sim Kui Hian menerima cenderamata daripada Jonathan Chai Voon Tok sebagai tanda kenang-kenangan pada majlis perasmian Blok Pengajaran Fasa Kedua sekolah berkenaan.

Pandangan sekolah penting dalam perubahan dasar pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Kepentingan murid dan pandangan pihak sekolah perlu menjadi pertimbangan utama dalam sebarang perubahan dasar pendidikan membabitkan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina bagi memastikan mutu pengajaran dan pembelajaran terus terjamin.

Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK(C) Chung Hua Bako, Datuk Jonathan Chai Voon Tok berkata, keputusan berkaitan kaedah pengajaran perlu diteliti secara menyeluruh kerana kesannya terhadap pembelajaran murid boleh berpanjangan.

Dr. Sim menyempurnakan perasmian Blok Pengajaran Fasa Kedua SJK(C) Chung Hua Bako, hari ini.

Menurutnya, cadangan mengurangkan waktu pengajaran Bahasa Cina daripada 12 kepada 10 waktu seminggu menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) menjadi contoh jelas tentang pentingnya pandangan pihak berkepentingan didengar sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan.

Katanya, cadangan berkenaan akhirnya ditarik balik selepas pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kesannya kepada pembelajaran murid di sekolah rendah aliran Cina.

Dr. Sim menyempurnakan perasmian Blok Pengajaran Fasa Kedua SJK(C) Chung Hua Bako, hari ini.

“Perkembangan itu membuktikan mengapa kita perlu sentiasa memantau dasar yang mempengaruhi kaedah pengajaran di sekolah rendah aliran Cina serta menyuarakan pandangan pada masa yang tepat supaya kebimbangan kita diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Blok Pengajaran Fasa Kedua dan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak SJK(C) Chung Hua Bako yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, di sini, hari ini.

Pada 5 November lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengekalkan 12 waktu pengajaran Bahasa Cina seminggu di SJK(C) menerusi KP2027 selepas cadangan mengurangkannya kepada 10 waktu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Keputusan itu dibuat susulan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, dengan KPM turut mengekalkan 12 waktu pengajaran seminggu bagi Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Mengulas lanjut, Jonathan berkata, Bahasa Cina merupakan bahasa pengantar utama di SJK(C), justeru penguasaan asas yang kukuh penting bagi membolehkan murid mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan.

Jelasnya, penguasaan bahasa yang baik bukan sahaja membantu kanak-kanak memahami pelajaran dan konsep baharu, malah meningkatkan keyakinan mereka ketika mengikuti sesi pengajaran di dalam bilik darjah.

“Peruntukan waktu pengajaran yang mencukupi amat penting, khususnya bagi murid yang kurang menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa komunikasi harian di rumah.

“Perkara ini bukan sekadar berkaitan jadual pembelajaran, tetapi turut melibatkan keperluan pendidikan murid, pemeliharaan identiti sekolah rendah aliran Cina serta usaha mengekalkan mutu pengajaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak penggubal dasar memberikan perhatian sewajarnya terhadap pandangan lembaga pengurusan sekolah dan guru yang terlibat secara langsung dalam proses pengajaran sebelum sebarang perubahan dimuktamadkan.

Menurutnya, maklum balas golongan pendidik perlu dijadikan antara pertimbangan utama bagi memastikan dasar yang dilaksanakan mengambil kira keperluan sekolah daripada pelbagai aliran, di samping menyediakan persekitaran pembelajaran yang stabil kepada murid.

Dalam pada itu, Jonathan merakamkan penghargaan terhadap komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada sekolah pelbagai aliran bagi menambah baik kemudahan serta persekitaran pengajaran.

Bagaimanapun, beliau berkata penghargaan terhadap sokongan kerajaan perlu seiring dengan tanggungjawab pihak sekolah untuk menyuarakan kebimbangan sekiranya sesuatu cadangan dasar tidak memenuhi keperluan murid.

Katanya, kebimbangan tersebut perlu disampaikan bersama alasan yang jelas serta cadangan penambahbaikan demi memastikan setiap keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan murid dan sekolah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU