KOTA SAMARAHAN: Kehadiran murid Bumiputera yang merangkumi 53 peratus daripada jumlah keseluruhan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bako mencerminkan penerimaan masyarakat pelbagai kaum terhadap pendidikan aliran Cina di Sarawak.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, komposisi murid tersebut memperlihatkan sekolah aliran Cina bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat Cina, malah turut mendapat kepercayaan ibu bapa Bumiputera.

Menurutnya, perkembangan itu selaras dengan pendirian Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bahawa sekolah aliran Cina di negeri ini terbuka kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang.
“Penguasaan pelbagai bahasa, khususnya bahasa Cina, mampu memberikan kelebihan kepada generasi muda Sarawak dalam merebut peluang ekonomi dan kerjaya, terutama ketika pengaruh China semakin berkembang di peringkat antarabangsa.
“Kelebihan tersebut bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh murid berketurunan Cina, malah turut memberi nilai tambah kepada murid Bumiputera yang menguasai bahasa berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Blok Pengajaran Fasa Kedua dan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak SJKC Chung Hua Bako, di sini, hari ini.
Dr. Sim berkata, kedudukan China yang semakin kukuh sebagai kuasa ekonomi dunia menjadikan penguasaan bahasa Cina semakin relevan bagi membolehkan generasi muda Sarawak menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi global.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan anak Sarawak yang berpeluang mengikuti pendidikan di sekolah aliran Cina memanfaatkan kelebihan penguasaan bahasa tersebut sebagai persediaan menghadapi keperluan masa depan.
Mengimbas sejarah penubuhan sekolah berkenaan, Dr. Sim berkata, SJKC Chung Hua Bako yang ditubuhkan pada 1946 pernah mengalami penutupan sementara sebelum usaha membangunkannya semula dimulakan pada 2015.
“Kegigihan lembaga pengurusan sekolah serta pihak yang memperjuangkan pendidikan aliran Cina membolehkan institusi berkenaan kembali beroperasi dan meneruskan peranannya dalam menyediakan kemudahan pembelajaran kepada masyarakat setempat.
“Ketika sekolah itu mula beroperasi di lokasi baharu pada 2020, jumlah murid hanya sekitar 199 orang, namun angka tersebut kini meningkat kepada lebih 400 orang,” katanya.
Pertambahan murid itu, jelasnya, mendorong pembinaan Blok Pengajaran Fasa Kedua dan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang membabitkan kos kira-kira RM4.2 juta bagi menampung keperluan pembelajaran yang semakin meningkat.

