KUCHING: Seorang wanita tempatan didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana berjudi di tempat awam menggunakan telefon bimbit.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu ke atas Cecilia, 32, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai tidak bernombor berhampiran Pending Height, Jalan Pending, sekitar jam 4.20 petang pada 17 Oktober lepas.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kuching menyerbu premis berkenaan berikutan wujud kegiatan perjudian dalam talian.
Ketika serbuan dilakukan, beberapa pelanggan berjaya melarikan diri, manakala Cecilia ditahan di lokasi kejadian.
Pemeriksaan mendapati tertuduh menggunakan telefon bimbit miliknya untuk bermain judi dalam talian.
Polis kemudian merampas telefon tersebut serta sekeping kertas yang mengandungi maklumat log masuk akaun perjudian dalam talian berkenaan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh menggunakan telefon bimbit itu untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
Pakar perjudian yang menjalankan pemeriksaan kemudian mengesahkan barangan yang dirampas digunakan untuk aktiviti judi dalam talian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



