KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Idris Buang hari ini mengumumkan keputusan tidak mempertahankan kerusi DUN Muara Tuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Beliau berkata, keputusan itu menandakan berakhirnya perjalanan hampir 10 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan yang disifatkannya sebagai satu pengalaman yang amat bermakna.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya tidak akan menawarkan diri untuk bertanding semula bagi kerusi DUN Muara Tuang dalam PRU Sarawak ke-13.
“Pengunduran saya juga berlaku pada suatu era yang amat bermakna, ketika Sarawak sedang mencapai kemajuan dan kecemerlangan luar biasa di bawah kepimpinan bijaksana Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Sarawakku Sayang, hari ini.
Tambahnya, beliau amat bersyukur kerana berpeluang berkhidmat di bawah kepimpinan Abang Johari yang disifatkannya sebagai pemimpin berwawasan, berjiwa rakyat serta berazam tinggi dalam membawa Sarawak ke arah kemajuan, kemakmuran dan masa depan lebih gemilang.
“Bagi saya, Abang Johari merupakan antara pemimpin terbaik yang pernah menerajui Sarawak. Saya amat berbesar hati dan berbangga kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada pasukan kepimpinan beliau dalam meneruskan agenda pembangunan negeri yang kita cintai ini.
“Saya juga bersyukur kerana diberi peluang berkhidmat di bawah kepimpinan beliau, yang telah membawa Sarawak ke tahap pembangunan semakin membanggakan. Kawasan Muara Tuang juga tidak ketinggalan menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan sepanjang tempoh tersebut.
“Namun, masih banyak yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat. Justeru, saya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Premier untuk menentukan calon terbaik bagi meneruskan amanah dan perjuangan ini.
“Saya menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan kepimpinan dan berikrar memberikan sokongan penuh, termasuk turun padang membantu kempen calon yang dipilih,” ujarnya.
Idris turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Muara Tuang atas kepercayaan, kasih sayang serta sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Menurutnya, penghargaan turut ditujukan kepada ahli dan kepimpinan parti, ketua masyarakat dan kaum, pemimpin akar umbi serta masyarakat pelbagai bangsa dan agama yang sentiasa bersama beliau dalam susah dan senang.
“Saya juga memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan sepanjang menjalankan amanah ini,” jelasnya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat dan pengundi kawasan Muara Tuang supaya terus memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih serta kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan kawasan itu serta masa depan Sarawak yang lebih gemilang.
“Jawatan boleh berganti, amanah boleh berakhir, tetapi persaudaraan dan semangat perjuangan akan kekal abadi. Terima kasih, Muara Tuang. Segala kepercayaan dan kenangan sepanjang hampir sepuluh tahun ini akan saya hargai sepanjang hayat,” ujarnya lagi.
PRU Sarawak ke-11 pada Mei 2016 menyaksikan Idris yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Muara Tuang dengan memperoleh 10,086 undi dan majoriti 8,578 undi.
Pada PRU Sarawak ke-12 pada Disember 2021, beliau sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi berkenaan selepas memperoleh 8,435 undi dengan majoriti 6,237 undi.

