MATU: Tiada siapa menyangka lokan bakar yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh Nurizan Mahdi dan keluarganya di Pantai Kuala Matu Hilir di sini, mendapat sambutan luar biasa selepas kisahnya disiarkan oleh Suara Sarawak.
Permintaan meningkat mendadak berbanding kebiasaan, dengan jualan sekitar 15 kilogram sebelum ini kini menjadi tumpuan ramai pelanggan.
Nurizan berkata, dia tidak menyangka sambutan sebegitu baik hingga terpaksa menambah jumlah jualan berikutan permintaan tinggi pelanggan.
“Mereka yang datang bukan hanya dari sekitar Matu tetapi juga Daro, Sibu dan Sarikei semata-mata mahu merasai hidangan ini,” katanya.
Menurutnya, jualan lokan bakar itu pada asalnya bermula secara spontan kerana belum ada produk seumpamanya ditawarkan di kawasan berkenaan.
Katanya, bahan mentah juga mudah diperoleh di sekitar pantai Kuala Matu, sekali gus memudahkan proses penyediaan.
“Proses membakar lokan hanya mengambil masa beberapa minit. Kami turut menyediakan sambal menggunakan resipi tersendiri bagi menambah keenakan rasanya,” katanya.
Nurizan berkata, gerainya beroperasi setiap Sabtu dan Ahad, dari jam 10 pagi hingga 5 petang.
Sambutan menggalakkan itu bukan sahaja memberi rezeki tambahan kepada Nurizan dan keluarganya, malah membuka peluang untuk produk makanan berasaskan hasil laut tempatan diketengahkan sebagai tarikan baharu di Kuala Matu.
“Sehubungan itu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pelanggan, sama ada dari jauh mahupun dekat.
“Sebenarnya, pengunjung bukan sahaja boleh menikmati lokan bakar, malah terdapat pelbagai pilihan lain seperti ikan bakar segar serta aneka produk makanan yang dijual oleh peniaga kecil di pantai ini setiap hujung minggu,” katanya.
Sementara itu, pelanggan dari Sibu, Firdaus Jamaludin, 45, berkata dia sanggup menempuh perjalanan selama lebih sejam bersama keluarga semata-mata mahu menikmati lokan bakar berkenaan.
“Lokan yang disediakan masih segar dan sambalnya juga sangat sedap. Rasanya memang tidak mengecewakan dan saya pasti akan datang lagi,” katanya.

