JULAU: Persaraan bukanlah penghalang bagi bekas guru untuk terus menabur bakti kepada masyarakat, sebaliknya mereka digalakkan kekal aktif dalam kegiatan komuniti dan ekonomi serta berkongsi pengalaman dan kepakaran demi manfaat bersama.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata golongan guru, khususnya guru besar, memainkan peranan penting dalam mengurus institusi pendidikan dan membentuk generasi muda melalui ilmu serta didikan yang diberikan.

Menurutnya, jasa dan pengorbanan guru bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian ilmu pengetahuan, malah turut membentuk kehidupan, nilai dan keperibadian seseorang.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Persaraan Guru Besar Julau.
Katanya, guru yang telah bersara disarankan mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat bagi memastikan kesihatan mental dan fizikal terus terpelihara, selain memberi peluang kepada mereka untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Guru-guru yang telah bersara juga boleh terus terlibat dalam pelbagai aktiviti komuniti termasuk pertanian, perdagangan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain mengikut kebolehan dan minat mereka.
“Pada masa yang sama, saya menggalakkan mereka untuk terus berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran mereka dengan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu, Larry turut menyumbangkan RM8,000 kepada persatuan guru sebagai tanda sokongan terhadap komuniti pendidikan.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua guru yang bersara atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan mereka dalam dunia pendidikan.
Beliau berharap pengalaman serta ilmu yang dimiliki golongan pendidik berkenaan terus dimanfaatkan untuk membantu masyarakat walaupun telah menamatkan perkhidmatan rasmi.



