SIBURAN: Kampung Sinjok, Kampung Tijirak dan Kampung Siga di sini bakal menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik menerusi projek naik taraf jalan bernilai RM3 juta yang didanai Agensi Penyelaras Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek itu membabitkan pelebaran jalan, penurapan semula jalan, penggantian pembentung serta pembinaan tembok di beberapa laluan kampung berkenaan.
Katanya, selain meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, pihak pelaksana iaitu Majlis Daerah Serian (MDS) bersama-sama kontraktor dan perunding yang dilantik perlu memastikan kerja naik taraf mengambil kira masalah banjir yang sering berlaku di kawasan terbabit.

“Pihak yang melaksanakan projek ini bersama-sama kontraktor dan perunding perlu melihat sama ada tembok tambahan diperlukan.
“Ini kerana jalan antara Kampung Sinjok dan Kampung Siga sering dinaiki air dan kadangkala pembentung yang dibina oleh pihak majlis turut dihanyutkan banjir.
Jadi, pastikan perkara ini diberikan perhatian supaya masalah banjir dapat diatasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek GKCDA DUN Tarat di Dewan Kampung Tijirak, di sini, hari ini.
Sagah yang juga penyandang DUN Tarat menjelaskan, masalah banjir serta limpahan air sungai ketika hujan yang melanda menyebabkan penduduk kampung tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan ketika paras air meningkat.
Sehubungan itu beliau berkata, pihak pelaksana dan kontraktor serta perunding perlu memberi perhatian dalam menyelesaikan isu tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak berkuasa tempatan perlu mencari penyelesaian bersama dengan pemaju perumahan berhubung penggunaan jalan kampung oleh kenderaan berat yang terlibat dalam aktiviti pembangunan.
Menurutnya, penggunaan laluan kampung oleh lori berat serta kemudahan paip air yang turut digunakan bagi pembangunan perumahan menimbulkan masalah kepada penduduk, termasuk menjejaskan bekalan air ke kampung.
Sehubungan itu, beliau berharap jabatan dan agensi berkaitan mengkaji semula perkara berkenaan dengan mengambil kira pertambahan penduduk serta peningkatan penggunaan kemudahan infrastruktur dari semasa ke semasa.
Skop projek di Kampung Tijirak melibatkan penurapan semula jalan persimpangan dari Lebuh Raya Pan Borneo ke Lorong Tijirak 9 sepanjang 1,260 meter, selain pelebaran dan penurapan semula Lorong Tijirak 2, Lorong Tijirak 4 dan Lorong Tijirak 5.
Di Kampung Sinjok pula, kerja melibatkan pelebaran dan penurapan semula Jalan Kampung Sinjok serta beberapa laluan di Lorong 1B, selain pembinaan dan penurapan laluan penghubung yang belum disiapkan di Lorong 2B sepanjang 150 meter.
Sementara itu, di Kampung Siga, kerja penurapan semula Jalan Kampung Siga dari Dewan Kampung Siga hingga ke Jalan Kampung Sumud akan dilaksanakan sepanjang kira-kira 900 meter, selain pembinaan semula dan pemanjangan tembok gabion sepanjang kira-kira 120 meter bagi perlindungan cerun.
Projek yang dilaksanakan oleh kontraktor P.N.H Utama itu dijadualkan mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan.


