KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai berhampiran Wisma Mahmud, di sini, kini diperluas dengan bantuan bot Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
Bot UKPS turut dilengkapi peralatan sonar bagi membantu mengimbas dan mengesan kedudukan mangsa di dasar sungai, khususnya di kawasan bawah jeti.
Mangsa yang berusia 34 tahun itu dilaporkan berada di sungai berkenaan oleh ahli keluarganya dalam kejadian awal pagi tadi.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.51 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan tiba di lokasi empat minit kemudian, sebelum memulakan operasi pencarian di permukaan air di kawasan kejadian.
“Pada 3.18 pagi, pasukan operasi menurunkan bot melalui jeti berhampiran lokasi bagi menjalankan pencarian di kawasan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Seramai sembilan anggota bomba digerakkan dalam operasi berkenaan dengan bantuan sebuah jentera FRT, sebuah EMRS, sebuah RIM dan sebuah bot.
Operasi turut mendapat bantuan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain sokongan bot UKPS dan LSS bagi memperluas kawasan pencarian.
Kerja-kerja pencarian masih giat dijalankan dengan penggunaan sonar dijangka membantu usaha mengesan mangsa di dasar sungai, terutama di kawasan yang sukar diperiksa melalui pencarian permukaan air.
JBPM Sarawak memaklumkan perkembangan operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa.


