KUCHING: Dua pasukan yang masing-masing meledak tujuh gol pada aksi separuh akhir, Balai Ringin FC (BRFC) dan MK22 FT bakal membuat perhitungan merebut kejuaraan Piala YB Datuk Snowdan Lawan 2026 pada 20 Disember ini.
Pertembungan akhir yang dijadual berlangsung 3 petang di Kompleks Sukan Balai Ringin itu menyaksikan kedua-dua pasukan berpeluang memburu gelaran sulung selepas mempamerkan ketajaman jentera serangan sepanjang saingan.
Penasihat Balai Ringin FC, Mohamad Idris berkata, pasukannya kini memberikan tumpuan kepada usaha memperkemas benteng pertahanan selepas membelasah Rando Serian 7-2 pada separuh akhir, 15 November lalu.
“Kejayaan menjaringkan tujuh gol merupakan satu pencapaian membanggakan buat seluruh pasukan kerana ia membuktikan kekuatan serangan dan keberkesanan penyudah pemain.
“Kita juga perlu mengambil perhatian dengan dua gol yang dibolosi.
Barisan pertahanan dan penjaga gol perlu memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi perlawanan akhir,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Menurut Mohamad Idris, keadaan padang khususnya di kawasan kotak penalti turut menjadi perhatian selepas menyumbang kepada jaringan penyamaan pihak lawan ketika aksi separuh akhir.
“Kita kini hanya selangkah lagi untuk menjulang kejuaraan.
Pemain perlu terus berdisiplin dan mengekalkan komitmen sehingga perlawanan terakhir,” jelasnya.
Sementara itu, MK22 FT turut memperagakan aksi meyakinkan apabila membelasah A.S.A FC 7-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir untuk mengesahkan pertemuan dengan Balai Ringin FC.
Kedua-dua pasukan kini mempunyai tempoh persiapan tambahan selepas perlawanan akhir yang pada asalnya dijadual berlangsung pada 22 November ditunda kepada 20 Disember.
Untuk rekod, BRFC mara ke separuh akhir selepas menang tanpa bertanding ke atas Rayang Antlers pada suku akhir, manakala MK22 FT menyingkirkan SABSAR FC menerusi sepakan penalti 4-3 selepas terikat 2-2.
Piala YB Datuk Snowdan Lawan 2026 yang bermula pada 13 September lalu menghimpunkan 29 pasukan, dengan perlawanan diadakan setiap Ahad di Kompleks Sukan Balai Ringin.
Juara bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala naib juara membawa pulang RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.


