BINTULU: SJK(C) Chung Hua Tatau terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan dan wadah perpaduan masyarakat berbilang kaum apabila berjaya mengekalkan kesinambungan pendidikan serta kepercayaan komuniti setempat sepanjang 100 tahun penubuhannya.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata pencapaian bersejarah itu bukan sahaja menjadi kebanggaan warga sekolah, malah seluruh masyarakat Tatau yang menjadi sebahagian daripada perjalanan dan perkembangan institusi pendidikan berkenaan sejak ditubuhkan pada 1926.
Beliau berkata, kejayaan sekolah itu bertahan selama satu abad membuktikan komitmen serta pengorbanan pelbagai generasi dalam memastikan kesinambungan pendidikan dan menyediakan peluang pembelajaran kepada anak-anak masyarakat setempat.

“Di sinilah anak-anak kita belajar, bermain, berinteraksi dan membesar bersama-sama tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun budaya.
Inilah semangat ‘Segulai Sejalai’ yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJK(C) Chung Hua Tatau di sebuah restoran di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, keunikan sekolah itu turut terserlah menerusi komposisi muridnya yang terdiri daripada 78 peratus pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan keyakinan dan sokongan ibu bapa daripada latar belakang berbeza dengan institusi pendidikan berkenaan.
Tegasnya, kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya merupakan kekuatan Sarawak yang perlu terus dipelihara, manakala institusi pendidikan menjadi antara platform penting untuk menyemai nilai perpaduan sejak peringkat awal kehidupan.
Beliau berkata, sepanjang 100 tahun penubuhannya, SJK(C) Chung Hua Tatau melalui pelbagai perubahan dan cabaran, namun tetap konsisten melaksanakan tanggungjawab melahirkan generasi berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Menurutnya, pencapaian itu tidak mungkin direalisasikan tanpa pengorbanan serta komitmen pengasas, Lembaga Pengelola Sekolah, guru besar, guru-guru, ibu bapa, alumni dan masyarakat setempat.
Tegasnya, pendidikan merupakan asas penting pembangunan Sarawak, khususnya dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri pada masa hadapan.
Sehubungan itu, setiap murid sama ada di bandar mahupun luar bandar perlu diberikan peluang yang adil untuk memperoleh pendidikan berkualiti, selain penekanan pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai murni.
Dalam memastikan sistem pendidikan terus relevan dengan perkembangan semasa, beliau turut menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Katanya, penyediaan 12 unit papan pintar di SJK(C) Chung Hua Tatau menerusi sokongan Kerajaan Sarawak, yang dilancarkan pada 11 September lalu, merupakan antara usaha memperkukuh kemudahan pembelajaran digital di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, kemudahan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru bagi menjadikan proses PdP lebih interaktif, kreatif dan berkesan, sekali gus meningkatkan pengalaman pembelajaran murid.
Menyentuh pembangunan infrastruktur, beliau berkata pihak pengurusan sekolah turut menggerakkan usaha kutipan dana sempena sambutan ulang tahun ke-100 bagi membiayai beberapa projek penambahbaikan kemudahan.
Antara projek yang dirancang termasuk pembinaan tandas dan penyediaan ruang dapur khas prasekolah, kerja membaik pulih kantin, menaik taraf bilik komputer, pemindahan pejabat pentadbiran ke tingkat dua serta pemasangan skrin LED di dewan sekolah.
Beliau memuji komitmen semua pihak dalam menjayakan usaha pembangunan berkenaan sambil menegaskan kemajuan pendidikan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat.
Menyentuh tema “Seabad Melangkah Bersama, Membina Impian Masa Hadapan”, John Sikie menyifatkan ia amat bertepatan dengan semangat kebersamaan dalam membina masa depan pendidikan yang lebih cemerlang.



