SELEPAS bertahun-tahun menuntut keadilan, penderitaan etnik Rohingya akhirnya mendapat pengiktirafan di pentas undang-undang antarabangsa apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid terhadap komuniti itu.
Pada 19 November lalu, ICJ memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya di utara negeri Rakhine ketika operasi ketenteraan pada 2017.
Penghakiman bersejarah itu bukan sekadar keputusan undang-undang, tetapi pengiktirafan terhadap penderitaan yang selama ini cuba dinafikan dan disembunyikan di sebalik alasan keselamatan negara.
Ia juga membawa mesej jelas bahawa kuasa politik dan kedaulatan negara tidak boleh dijadikan perisai untuk melindungi jenayah terhadap kemanusiaan.
Buat pertama kali, ICJ mendapati sebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid, sekali gus menegaskan bahawa tindakan memusnahkan sesuatu kelompok manusia tidak boleh dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan.
Kes berkenaan dibawa Gambia terhadap Myanmar pada 2019, susulan kekejaman yang berlaku ketika operasi ketenteraan terhadap Rohingya.
Serangan kumpulan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) terhadap beberapa balai polis pada Ogos 2017 dijadikan alasan kepada tindakan ketenteraan Myanmar. Namun, tindakan yang menyusul jauh melangkaui operasi keselamatan.
Ribuan Rohingya dibunuh, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keganasan, kampung dibakar serta penduduk diserang ketika cuba melarikan diri.
Lebih 700,000 orang terpaksa meninggalkan Myanmar dan mencari perlindungan di Bangladesh, manakala jumlah korban dipercayai mencecah lebih 10,000 orang.
Bayangkan sebuah keluarga meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa, hanya sempat membawa anak-anak dan apa-apa sahaja yang mampu digenggam. Mereka berjalan merentasi hutan, menyeberangi sungai dan mencari perlindungan tanpa mengetahui sama ada perjalanan itu akan membawa mereka ke tempat selamat.
Ada yang kehilangan ibu bapa, anak-anak terpisah daripada keluarga, manakala mangsa keganasan seksual terpaksa menanggung trauma yang mungkin kekal sepanjang hayat.
Kehilangan rumah, harta benda dan orang tersayang bukan sekadar tragedi sementara, tetapi luka yang diwarisi dalam kehidupan seharian mereka.
Namun, penderitaan Rohingya sebenarnya bermula jauh sebelum operasi ketenteraan 2017. Mereka telah sekian lama berdepan diskriminasi, penafian kewarganegaraan, sekatan pergerakan dan kesukaran mendapatkan pendidikan, pekerjaan serta perkhidmatan asas.
Penafian hak kewarganegaraan bukan sekadar menghilangkan status rasmi mereka, tetapi turut merampas hak untuk hidup sebagai manusia yang diiktiraf, dilindungi dan mempunyai masa depan. Tanpa dokumen sah, mereka terdedah kepada pelbagai bentuk penindasan dan tidak mampu menikmati hak yang sepatutnya dimiliki setiap warga.
Penderitaan itu tidak berakhir apabila mereka berjaya melarikan diri. Di Kem Pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, ratusan ribu Rohingya masih bergantung kepada bantuan kemanusiaan, hidup dalam penempatan sesak dengan peluang pendidikan dan pekerjaan yang terhad serta masa depan yang tidak menentu.
Anak-anak yang dilahirkan di kem itu membesar tanpa mengetahui bilakah mereka dapat menikmati kehidupan normal, memiliki rumah sendiri atau kembali ke tanah air. Generasi ini berisiko terus terperangkap dalam kemiskinan dan ketidakpastian sekiranya krisis tidak diselesaikan secara menyeluruh.
Justeru, keputusan ICJ membawa makna buat mereka. Ia bukan sekadar kemenangan Gambia dalam pertikaian undang-undang dengan Myanmar, tetapi pengiktirafan terhadap suara mangsa yang selama ini seolah-olah tidak didengari.
Bagaimanapun, penghakiman sahaja tidak cukup. Myanmar perlu memenuhi kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid, termasuk mengambil langkah-langkah mencegah jenayah serupa, menyiasat dan menghukum pihak yang bertanggungjawab serta memastikan pelanggaran tidak berulang.
Masyarakat antarabangsa juga tidak boleh sekadar berpuas hati dengan keputusan mahkamah, sebaliknya perlu memastikan pelaksanaannya dipantau.
Hak Rohingya untuk kembali ke tempat kediaman mereka secara selamat, sukarela dan bermaruah, termasuk penyatuan semula keluarga, turut menjadi tuntutan penting. Kepulangan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa tanpa jaminan keselamatan, pengiktirafan kewarganegaraan dan perlindungan daripada diskriminasi.
Harus difahami, keadilan bukan hanya tentang menghukum pelaku. Ia juga tentang memulihkan hak mangsa, mengembalikan maruah mereka dan memastikan mereka tidak lagi hidup dalam ketakutan.
Keputusan ICJ mungkin tidak mampu menghidupkan semula mereka yang telah terbunuh, memadam trauma mangsa atau mengembalikan rumah yang telah dibakar. Namun, penghakiman itu sekurang-kurangnya menegaskan bahawa penderitaan Rohingya bukan sekadar dakwaan yang boleh diketepikan.
Keadilan sebenar hanya akan dirasai apabila mereka tidak lagi hidup sebagai pelarian, apabila anak-anak mempunyai masa depan dan apabila mereka boleh kembali ke tanah air tanpa ketakutan.
Mungkin selepas ini, mereka yang berada di Malaysia dapat kembali semula ke tanah air untuk mendapatkan hak mereka dan membina kehidupan baharu, sekiranya keselamatan serta jaminan hak benar-benar diwujudkan.
Kerana pada akhirnya, setiap manusia berhak memiliki tempat untuk pulang, hidup dengan aman dan dihormati. Hak itu tidak sepatutnya hilang hanya kerana mereka dilahirkan sebagai Rohingya.
Myanmar perlu memenuhi kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid, termasuk mengambil langkah-langkah mencegah jenayah serupa, menyiasat dan menghukum pihak yang bertanggungjawab.


