ARTIKEL

Khazanah silam KAMPUNG TELLIAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAMPUNG Tellian di Mukah bukan sekadar perkampungan tradisional masyarakat Melanau, tetapi juga menyimpan pelbagai khazanah warisan, adat resam dan sejarah yang berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan berasaskan budaya.

Keunikan kampung itu merangkumi Muzium Mini Melanau Sapan Puloh yang mempamerkan kehidupan dan peralatan tradisional masyarakat Melanau, beberapa jerunei bersejarah, kegiatan pembuatan sagu yang masih aktif serta keindahan Sungai Tellian yang menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk setempat.

Selain memberikan pengalaman mengenali warisan silam, Kampung Tellian turut mengekalkan adat resam yang masih diamalkan oleh masyarakatnya, termasuk upacara perkahwinan, kematian dan kaul yang menjadi antara tradisi penting masyarakat Melanau.

Penghulu Kampung Tellian, Winnie Wena Dominic Lai berkata, Sapan Puloh menjadi antara destinasi utama yang dikunjungi pelancong apabila berkunjung ke kampung itu, khususnya mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang budaya dan sejarah masyarakat Melanau.

“Hal ini demikian kerana penerangan yang diberikan oleh pengurusnya, Tommy Black, mengenai barangan lama, pakaian tradisional serta adat masyarakat Melanau membantu pengunjung memahami warisan yang dipamerkan dengan lebih mudah.

“Saya difahamkan beliau (Tommy) menerima kunjungan pelancong dari luar negara seperti Jerman, Australia, New Zealand, China dan negara lain.

“Kunjungan pelancong dari luar negara ini membuktikan bahawa beliau memberikan penerangan yang jelas mengenai adat, budaya dan tradisi masyarakat Melanau,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Selain Muzium Mini Melanau Sapan Puloh, katanya, jerunei yang terdapat di sekitar kampung itu turut menjadi perhatian pengunjung. Beberapa struktur bersejarah berkenaan kini diletakkan di bawah pengurusan pihak muzium bagi memastikan kelestariannya.

Menurutnya, terdapat beberapa jerunei di Kampung Tellian yang masih dikekalkan di lokasi asal. Usaha pemeliharaan turut dilakukan bagi mengelakkan struktur berkenaan daripada terus mengalami kerosakan akibat faktor usia dan keadaan persekitaran.

AKTIVITI berkaitan dengan rumbia masih menjadi sumber ekonomi dan makanan masyarakat Melanau.

PELANCONGAN WARISAN

Kampung Tellian juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai destinasi pelancongan warisan.

“Namun, usaha membangunkan tarikan sedia ada perlu disertai pemeliharaan kemudahan dan khazanah lama, termasuk Lamin Dana yang berpotensi diketengahkan kepada pengunjung,” katanya.

Bekas Penghulu Kampung Tellian, Bonaventure Juana Lupuih berkata, Kampung Tellian pada asalnya terdiri daripada Tellian Ulu, Tellian Tengah dan Tellian Laut sebelum berkembang dengan kewujudan beberapa kawasan lain seperti Tellian Daya, Tellian Permai dan Sri Tellian.

Menurutnya, perkembangan kawasan kampung itu berlaku seiring dengan perubahan zaman, namun identiti Tellian sebagai perkampungan masyarakat Melanau masih kekal sehingga kini.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kehidupan masyarakat Tellian turut mengalami perubahan seiring dengan perkembangan semasa, terutama dari segi pendidikan dan pekerjaan, apabila semakin ramai golongan muda melanjutkan pelajaran serta bekerja di luar kawasan.

“Walau bagaimanapun, penghasilan sagu masih menjadi antara kegiatan utama penduduk kampung, dengan sebahagian masyarakat terus bergantung pada hasil rumbia sebagai sumber rezeki.

“Kegiatan menghasilkan sagu bukan sahaja menjadi mata pencarian penduduk, malah merupakan sebahagian daripada kehidupan dan identiti masyarakat Melanau di Tellian yang diwarisi sejak dahulu.

“Selain itu, penggunaan belanga dalam proses penghasilan sagu masih diamalkan sehingga kini, sekali gus memperlihatkan kesinambungan kegiatan tradisional yang terus dipertahankan oleh masyarakat kampung,” katanya.

TOMMY menerangkan kepada pengunjung mengenai masyarakat Melanau di Sapan Puloh.

Jelasnya, meskipun kehidupan masyarakat kini semakin berubah mengikut perkembangan zaman, sagu tetap menjadi makanan utama masyarakat Melanau dan warisan yang tidak mudah dipisahkan daripada kehidupan mereka.

Kampung Tellian turut mempunyai beberapa jerunei yang menyimpan kisah sejarah dan mitos tersendiri, antaranya Jerunei Besungou, Jerunei Amou, Jerunei Anaek Uda, Jerunei Sungai Teloh, Jerunei Puteri dan Jerunei Condong.

Jerunei Amou dianggap misteri kerana hanya dapat dilihat oleh individu tertentu pada waktu yang berlainan. Kepercayaan itu berdasarkan cerita yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

SUNGAI Tellian meriah semasa Kaul Serahang Kakan apabila masyarakat menghantar Serahangke Kaul Tugek

Terdapat penduduk yang mendakwa pernah melihat jerunei berkenaan, namun kisah itu kekal sebagai cerita dan mitos masyarakat setempat.

“Jerunei Condong pula dipercayai mengalami perubahan kedudukan akibat hakisan, selain tidak mempunyai kisah asal usul yang jelas.

“Terdapat juga catatan sejarah yang menyebut seorang pahlawan bernama Sebusui, yang menjaga Batang Mukah pada zaman dahulu, meninggal dunia di Kampung Tellian dan meninggalkan makam berbentuk jerunei yang menjadi tanda tanya dalam kalangan penggiat warisan sejarah tempatan.

“Selain itu, Jerunei Besungou atau Basungou terletak di kawasan Kekut, Kampung Tradisi Tellian, manakala Jerunei Anaek Uda yang terletak di Sungai Sulong, berhampiran Jalan Mukah-Balingian, dipercayai merupakan makam seorang saudagar.

“Jerunei Puteri pula terletak di Sungai Misan, Kampung Tellian Tengah, manakala Jerunei Sungai Teloh turut menjadi sebahagian daripada khazanah lama kampung itu,” jelasnya.

Juana turut berkongsi, selain jerunei, keranda gantung atau bakut juga masih terdapat di kawasan kampung. Amalan itu dikaitkan dengan kepercayaan masyarakat terdahulu yang tidak mahu mengebumikan jenazah individu tersayang kerana kasih sayang terhadap mereka.

JERUNEI yang masih ada di Kampung Tellian dan usaha memulihara giat dijalankan oleh orang kampung dan pihak muzium.

Sementara itu, penduduk Kampung Tellian, Lyona Stephen berkata, kampung itu sememangnya menyimpan pelbagai khazanah lama dan adat tradisi yang perlu terus dipelihara bagi memastikan warisan masyarakat Melanau tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, usaha mengekalkan adat dan budaya berkenaan penting supaya generasi akan datang terus mengenali warisan nenek moyang serta menjadikannya sebahagian daripada identiti masyarakat.

“Keunikan khazanah lama dan adat tradisi yang masih diamalkan di Kampung Tellian turut mempunyai nilai tersendiri dalam menarik perhatian masyarakat luar untuk mengenali kehidupan serta budaya masyarakat Melanau.

“Saya percaya warisan yang dimiliki kampung ini berpotensi menjadikan Kampung Tellian sebagai destinasi pelancongan, sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri keunikan budaya dan tradisi yang masih dipertahankan oleh penduduk setempat.

“Oleh itu, pemeliharaan khazanah warisan berkenaan bukan sahaja penting untuk masyarakat kampung, malah merupakan usaha memastikan keunikan Kampung Tellian terus dikenali oleh generasi akan datang,” tambahnya. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU