ARTIKEL

Little Miss/Mister Ethnic 2026: 28 peserta peragakan busana etnik kontemporari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Usaha memperkenalkan dan melestarikan warisan budaya etnik Sarawak dalam kalangan generasi muda terus diperkasa menerusi pertandingan Little Miss/Mister Ethnic 2026 anjuran Razz Couture dengan tema Etnik Kreatif Kontemporari.

Juara Kategori B, Yasmin Soffiya.Foto: RZA

Pertandingan yang menghimpunkan seramai 28 peserta itu bukan sekadar memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja memperagakan busana etnik, malah turut menjadi platform untuk menyemai rasa bangga, cinta serta penghargaan terhadap identiti budaya masing-masing.

Juara Kategori A, Aniah Lee Bong.Foto: RZA

Pengasas Razz Couture, Razie Ali berkata, penganjuran pertandingan berkenaan bertujuan membentuk keyakinan diri peserta, selain memastikan warisan budaya terus dikenali dan dihargai oleh generasi muda.

Menurutnya, pertandingan itu membawa mesej lebih besar daripada sekadar acara peragaan kerana peserta turut didedahkan kepada sejarah, asal-usul dan keunikan busana tradisional yang menjadi identiti masyarakat berbilang etnik di Sarawak.

Tiga peserta terbaik Kategori B, dari kiri, Nurul Syamilla (tempat kedua), Yasmin Soffiya (juara) dan Casandra Glessia (tempat ketiga).Foto: RZA
Tiga peserta terbaik Kategori A, dari kiri, Siti Nur Alina Alisya (tempat kedua), Aniah Lee Bong (juara) dan Dea Delisha (tempat ketiga).Foto: RZA

“Objektif utama kami adalah menyediakan platform untuk memupuk keyakinan diri kanak-kanak dan remaja, tetapi lebih penting lagi menanam rasa bangga, cinta dan penghargaan terhadap warisan budaya serta identiti etnik sejak usia muda.

“Ia bukan sekadar pertandingan peragaan, sebaliknya satu usaha untuk melestarikan budaya kita,” katanya kepada Suara Sarawak pada acara berkenaan di pusat beli-belah Riverside Majestic pada Sabtu.

Razie berkata, pemilihan tema Etnik Kreatif Kontemporari tercetus daripada keinginan untuk menjadikan pakaian tradisional lebih dekat dengan kehidupan generasi masa kini.

Peserta memperagakan busana etnik masing-masing dengan sentuhan kreatif kontemporari.Foto: RZA

Katanya, busana tradisional lazimnya hanya digayakan ketika menghadiri majlis tertentu, sedangkan keindahan dan nilai warisannya boleh diketengahkan melalui pendekatan lebih moden tanpa menghilangkan identiti asal.

Justeru, peserta diberi ruang untuk mengolah, mengubah suai dan mentafsir semula rekaan tradisional dengan sentuhan kontemporari, sekali gus memperlihatkan bahawa warisan budaya mampu bergerak seiring dengan perkembangan fesyen semasa.

Peserta memperagakan busana etnik dengan penuh keyakinan di pentas pertandingan.Foto:RZA

“Kami mahu menunjukkan bahawa pakaian tradisional boleh digayakan dalam kehidupan seharian. Ia boleh kelihatan cantik, moden dan menarik, tetapi pada masa sama masih mengekalkan nilai serta identiti budaya asal.

“Jika budaya tidak bergerak seiring perubahan zaman, ia berisiko ditinggalkan generasi muda. Sebab itu, kami mahu menjadikan tema ini sebagai jambatan yang menghubungkan warisan lampau dengan gaya hidup masa kini,” jelasnya.

Menurut Razie, kebebasan kreatif diberikan kepada peserta dan keluarga untuk menghasilkan rekaan tersendiri, termasuk menerusi pemilihan warna, potongan pakaian, hiasan serta aksesori.

Bagaimanapun, katanya, setiap olahan perlu mengekalkan ciri khas budaya yang diwakili dan tidak mengetepikan keaslian serta nilai warisan etnik berkenaan.

Penilaian pertandingan tidak hanya tertumpu kepada kecantikan busana dan keupayaan peserta menguasai pentas, sebaliknya turut mengambil kira pengetahuan mereka mengenai pakaian yang diperagakan.

Aspek penilaian merangkumi personaliti, aura, keyakinan diri, penguasaan pentas, kemahiran peragaan, penyampaian, kekemasan, kreativiti serta keaslian rekaan busana.

Pengetahuan peserta mengenai budaya dan pakaian etnik masing-masing turut menjadi antara kriteria penting, selain undian awam serta penglibatan menerusi media sosial.

Bagi memastikan penilaian lebih bersesuaian, penyertaan dibahagikan kepada dua kategori umur iaitu Kategori A bagi peserta berusia lima hingga 10 tahun dan Kategori B bagi peserta berusia 11 hingga 16 tahun.

Razie berkata, pendekatan itu membolehkan penilaian mengambil kira tahap kematangan peserta, dengan Kategori A lebih menekankan keyakinan diri, keperibadian dan penghayatan budaya secara asas.

Sementara itu, peserta Kategori B digalakkan memperlihatkan penyampaian lebih matang, pemahaman mendalam mengenai budaya serta kreativiti dalam menghasilkan rekaan busana.

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha berkenaan.

Katanya, proses mengenali asal-usul budaya, memilih bahan, menghasilkan rekaan dan membuat persediaan pertandingan memberi peluang kepada ibu bapa berkongsi pengetahuan warisan keluarga dengan anak-anak.

Penyampaian hadiah kepada Aniah Lee Bong yang muncul juara Kategori A.Foto: RZA

“Apabila ibu bapa turut menceritakan tentang warisan mereka di rumah, nilai budaya itu menjadi lebih bermakna kepada anak-anak. Ia bukan sekadar persediaan untuk pertandingan, tetapi pengalaman kekeluargaan yang membantu mereka mengenali identiti sendiri,” jelasnya.

Mengulas perancangan masa depan, Razie berkata, Razz Couture berhasrat menjadikan Little Miss/Mister Ethnic sebagai acara tahunan yang lebih besar dengan penyertaan lebih banyak komuniti etnik dari seluruh Sarawak.

Pihaknya juga merancang membuka peluang kepada peserta berpotensi untuk menyertai pameran fesyen, pertandingan dan platform lebih luas di peringkat negeri serta antarabangsa.

“Kami bukan sekadar mahu melahirkan juara peragaan, tetapi duta muda budaya yang berpengetahuan, berkeyakinan dan bangga dengan identiti mereka.

“Kami mahu membawa keindahan serta keunikan budaya Sarawak ke pentas lebih besar,” kongsinya.

Dalam pertandingan itu, Aniah Lee Bong muncul juara Kategori A, diikuti Siti Nur Alina Alisya di tempat kedua dan Dea Delisha Abdullah di tempat ketiga.

Bagi Kategori B pula, Yasmin Soffiya Mohd Khairul Hakimin dinobatkan sebagai juara, manakala Nurul Syamilla Abdullah meraih tempat kedua dan Casandra Glessia Christoper di tempat ketiga.

Pertandingan berkenaan diadili enam juri, iaitu Rosy Tian Lin selaku ketua juri, Marieann, Juliet Malek, Rajahni Seni (Arra), Cherry Maurie dan Cik Sharon Kezia.

BERITA LAIN

Hubungan harmoni Persekutuan-Sarawak perlu diperkukuh

KUCHING: Hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan tuntutan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan

BERITA TERBARU

Hubungan harmoni Persekutuan-Sarawak perlu diperkukuh

KUCHING: Hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan tuntutan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan