ARTIKEL

Johnny Pang menyampaikan bantuan simbolik Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak kepada salah seorang murid Tadika Bestari.

Bantuan pendidikan awal Sarawak ringankan beban kewangan ibu bapa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Inisiatif bantuan pendidikan awal Kerajaan Sarawak bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah membuka lebih banyak peluang kepada kanak-kanak memperoleh asas pendidikan yang baik sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata sokongan menerusi Bantuan Pendaftaran serta Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak amat bermakna dalam membantu ibu bapa menampung kos pendidikan anak-anak.

Johnny Pang merakam gambar bersama murid Tadika Bestari.

Menurutnya, pendidikan awal bukan sekadar memberi pendedahan kepada kemahiran asas seperti mengenal huruf dan nombor, sebaliknya menjadi peringkat penting dalam membentuk keyakinan diri, disiplin, sikap berdikari serta nilai murni dalam diri kanak-kanak.

Beliau berkata setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri yang perlu dikenal pasti serta dikembangkan menerusi bimbingan berterusan daripada ibu bapa dan tenaga pendidik.

“Setiap anak mempunyai kelebihan dan potensi masing-masing. Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan pendidik adalah untuk terus membimbing, memberi sokongan dan membantu mereka mengembangkan potensi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Kali Ke-24 Tadika Bestari Tahun 2026 di sini, pada hari Ahad.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara ibu bapa, pihak pengurusan tadika dan guru dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang positif bagi memastikan perkembangan kanak-kanak dari aspek pendidikan dan pembentukan sahsiah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Tadika Bestari, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa atas komitmen dan kerjasama dalam menyediakan asas pendidikan yang baik kepada anak-anak.

Pada majlis tersebut, Johnny Pang turut menyampaikan bantuan simbolik Bantuan Pendaftaran sebanyak RM100 seorang kepada 58 murid Tadika Bestari.

Turut disampaikan Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak sehingga RM1,000 seorang setahun kepada 43 murid tadika berkenaan.

Beliau berkata bantuan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyokong pendidikan awal kanak-kanak, selain memastikan lebih ramai keluarga berpeluang menyediakan pendidikan yang sesuai untuk anak-anak mereka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU