KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) digesa merancang pelbagai program pada tahun hadapan bagi membantu masyarakat mendepani cabaran masa kini sekali gus memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program berkenaan boleh dilaksanakan di peringkat kampung dan kawasan perumahan dengan memberi penekanan kepada beberapa aspek, termasuk keselamatan siber, kemahiran keibubapaan serta pengurusan psikologi.

Menurutnya, perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial yang semakin meluas turut membawa cabaran baharu kepada masyarakat, khususnya berkaitan buli siber yang boleh memberi tekanan kepada individu dan keluarga.
“Susun program yang dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan kawasan masing-masing terpelihara. Usaha ini juga penting bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi pemimpin masyarakat dalam menangani pelbagai masalah di kawasan jagaan mereka.
“Justeru, saya juga bersedia memberikan sokongan bagi memastikan program seumpama itu dapat dirancang dan dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Program Kesedaran Keselamatan dan Kesejahteraan Komuniti Kuching di CRC Auditorium, Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, hari ini.
Tambahnya, kepimpinan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan ilmu dan kemahiran berkaitan keselamatan serta kesejahteraan dapat disampaikan hingga ke peringkat kampung dan kawasan perumahan.
“Gunakan kemudahan yang ada dan jemput pakar untuk berkongsi pandangan, termasuk berkaitan keselamatan siber dan kemahiran keibubapaan bagi memastikan keluarga terus terjaga dan terpelihara.
“Keadaan sekarang sudah berubah dan ibu bapa perlu menyesuaikan pendekatan mendidik anak-anak supaya mereka mampu menghadapi cabaran kehidupan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berharap KMKK, khususnya di kawasan Kuching dan Petra Jaya, dapat menggembleng tenaga serta buah fikiran untuk merancang lebih banyak program tahun hadapan.
“Justeru, kita meminta KMKK mengemukakan cadangan bagi merancang lebih banyak program tahun depan dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan kawasan jagaan masing-masing terus terpelihara. Sekiranya program tidak dapat dilaksanakan di peringkat daerah, kita boleh melaksanakannya mengikut zon atau kumpulan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr. Ngian Hie Ung berkata, program berkenaan dianjurkan sebagai wadah untuk menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelbagai isu keselamatan serta kesejahteraan.
Menurutnya, perkembangan dunia digital yang pesat menyaksikan ancaman keselamatan semakin kompleks, termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu dan pengaruh pemikiran yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Justeru, masyarakat perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran bersesuaian agar lebih bersedia menghadapi cabaran berkenaan.
“Program ini turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dengan masyarakat menerusi perkongsian maklumat, khususnya berkaitan ancaman semasa, jenayah siber, pengurusan harta pusaka dan kesihatan mental,” tegasnya.



