ARTIKEL

Intai wajah baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERANCANGAN Kuching City FC untuk membentuk sebuah pasukan lebih kompetitif bagi mengharungi baki saingan musim 2026/2027 kini memasuki fasa penting apabila jendela perpindahan pemain semakin hampir.

Selepas mengharungi jadual pertandingan yang padat dalam pelbagai kejohanan, keperluan memperkukuh beberapa posisi dalam skuad kendalian Aidil Sharil Sahak dilihat bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan The Cats terus mampu bersaing di pentas domestik dan antarabangsa.

Namun, dalam keghairahan mencari wajah baharu, pengurusan Kuching City perlu bijak mengimbangi antara keperluan teknikal pasukan dengan kemampuan kewangan kelab. Ini kerana mendapati pemain berkaliti bukan semudah mengenal pasti nama yang menjadi pilihan penyokong.

Ia turut membabitkan rundingan kontrak, nilai perpindahan, gaji, elan serta pelbagai komitmen lain yang perlu ditimbang sepanjang tempoh perkhidmatan pemain berkenaan. Nama peny erang Selangor FC, Chrigor Moraes, misalnya, mula menjadi perhatian selepas dikaitkan dengan kemampuan Kuching City menerusi spekulasi yang hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong di media sosial.

Tidak dinafikan, penyerang kelahiran Brazil itu mempunyai pakej yang cukup menarik untuk menjadi penyelesaian kepada masalah ketajaman jentera serangan The Cats. Pada usia 26 tahun, Moraes berada dalam lingkungan usia terbaik seorang pemain bola sepak untuk terus berkembang dan memberikan sumbangan besar kepada pasukan.

Kualiti penyudah, kekuatan fizikal serta keupayaannya mencari ruang di kawasan penalti menjadikan beliau antara penyerang yang mempunyai nilai tersendiri dalam Liga Super. Malah, rekod jaringan yang dimilikinya sepanjang musim 2025/2026 memperlihatkan mengapa namanya dianggap sebagai antara penyerang import yang cukup berbahaya.

Moraes menghasilkan 42 gol dalam 49 penampilan pada musim berkenaan, selain mencatatkan sembilan gol dan dua bantuan jaringan dalam enam perlawanan awal Liga Super musim ini.

Angka tersebut sudah cukup menggambarkan betapa besar sumbangan yang mampu diberikan oleh seorang penyerang yang berada dalam prestasi terbaik. Justeru, tidak menghairankan apabila penyokong Kuching City mula membayangkan kehadirannya mampu memberikan dimensi baharu kepada jentera serangan pasukan.

Bagaimanapun, realiti perpindahan pemain profesional tidak hanya bergantung kepada mata seorang individu, Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan sendiri mengakui Moraes mempunyai kualiti yang diperlukan The Cats, tetapi menegaskan terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, secara peribadi, Moraes sememangnya antara penyerang yang diinginkan, tetapi kelab perlu menghormati kontrak pemain itu bersama Selangor FC serta mengambil kira kemampuan kewangan sendiri.

Kenyataan tersebut memperlihatkan bahawa pengurusan Kuching City tidak melompat mendapatkan khidmat penyerang berkenaan, tetapi pada masa sama tidak mahu terburu-buru membuat keputusan yang boleh membebankan kedudukan kewangan kelab.

Hakikatnya, Moraes masih mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga 30 Jun 2027 selepas menyertai kelab itu pada Julai 2025. Berdasarkan anggaran Transfermarkt, nilai pasaran pemain berkenaan mencecah €900,000 atau kira-kira RM4.3 juta.

Nilai itu sememangnya besar, khususnya bagi kelab yang perlu menguruskan perbelanjaan operasi, pembayaran gaji pemain, pembangunan fasiliti serta keperluan menghadapi beberapa kejohanan dalam satu musim.

Lebih-lebih lagi, terdapat dakwaan bahawa klausa pelepasan kontraknya boleh mencecah €5 juta atau kira-kira RM22 juta, walaupun angka berkenaan perlu dianggap sebagai anggaran dan bukannya nilai rasmi yang disahkan.

Sekiranya angka tersebut benar, usaha mendapatkan Moraes pastinya memerlukan komitmen kewangan yang sangat besar. Ini belum termasuk gaji tahunan yang dianggarkan sekitar €235,000 atau kira-kira RM1.1 juta, selain kos penginapan, rumah, elaun, pengangkutan dan pelbagai kemudahan lain.

Bukan sekadar Moraes

Bagaimanapun, tumpuan terhadap Moraes tidak seharusnya menyebakan perancangan perpindahan Kuching City dilihat hanya berfokus kepada seorang pemain. Ini kerana Aidil sebenarnya sudah mula mengenal pasti beberapa calon yang berpotensi dibawa masuk untuk memperkukuh skuad menjelang jendela perpindahan Januari 2027.

Iswandi mengesahkan bahawa pihak pengurusan sudah melakukan perbincangan mengenai keperluan menambah baik beberapa posisi penting dalam pasukan. Menurutnya, ketua jurulatih itu sedang meneliti seorang atau dua pemain kelika ini, selain terdapat beberapa nama lain yang turut menjadi pertimbangan.

Keputusan akhir bergantung kepada penilaian terhadap keperluan sebenar pasukan sebelum sebarang pengambilan dilakukan. Perkara itu menunjukkan Kuching City tidak mahu melakukan pembelian semata-mata untuk memenuhi kehendak penyokong atau mencipta sensasi dalam pasaran perpindahan.

Sebaliknya, setiap pemain yang dibawa masuk perlu mempunyai peranan jelas dalam sistem permainan yang mahu diterapkan Aidil. Pendekatan itu wajar diberikan perhatian kerana keceuaan sebuah pasukan bukan hanya terletak pada nama besar atau reputasi import, tetapi setiap pemain mesti sesuai dengan corak permainan dan falsafah kejurulatihan.

Dalam hal ini, keyakinan yang diberikan kepada Aidil untuk menentukan pemain harus memperkukuh semangat pasukan. Sebagai individu yang bertanggungjawab merangka strategi dan corak permainan, beliau pastinya lebih memahami posisi yang memerlukan penambahbaikan serta profil pemain yang sesuai dengan keperluan taktikal pasukan.

Sementara itu, pihak pengurusan pula bertanggungjawab memastikan setiap cadangan pengambilan tidak menjejaskan kestabilan kewangan kelab. Iswandi berkata bahawa urusan pemilihan pemain diserahkan sepenuhnya kepada Aidil, manakala pengurusan akan meneliti aspek bajet dan kemampuan kewangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Kecederaan tambah tekanan

Apa yang menjadikan usaha memperkukuh skuad semakin mendesak ialah masalah kecederaan yang kini melingkungi beberapa pemain utama The Cats. Dengan kira-kira tujuh pemain dilaporkan mengalami kecederaan, pilihan Aidil untuk melakukan penggantian pemain semakin terbatas, terutama ketika pasukan perlu mengharungi jadual pertandingan yang padat.

Antara pemain yang terjejas ialah Ronald Ngah Wanja dan Aldin Mojagic; dua penyerang yang sepatutnya menjadi antara pilihan utama dalam usaha memperkaskan barisan hadapan. Ketuaan mereka memerlukan kesan terhadap perancangan serangan, khususnya apabila Kuching City memerlukan lebih banyak untuk menghadapi lawan yang mempunyai pendekatan taktikal berbeza.

Malah, Joao Pedro turut dilaporkan mengalami kesakitan sehingga terpaksa dikeuarkan pada separuh masa kedua dalam perlawanan sebelum ini. Situasi tersebut pastinya menimbulkan kebimbangan kepada barisan kejurulatihan kerana kehilangan beberapa pemain dalam satu-satu masa boleh menjejaskan keimbangan pasukan.

Iswandi turut mengakui bahawa Kuching City mempunyai 33 pemain untuk menghadapi jadual pertandingan musim ini, namun jumlah tersebut masih belum memerlukan penambahan bagi menampung kecederaan di beberapa posisi.

Justeru, pasaran pengambilan minimum dua pemain baharu dilihat sebagai langkah awal untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada Aidil. Jumlah itu bagaimanapun berpotensi meningkat kepada empat pemain sekiranya kedudukan kewangan kelab mengizinkan.

Angka tersebut menunjukkan pengurusan memahami cabaran yang dihadapi The Cats bukan hanya berkaitan prestasi di atas padang, tetapi turut membabitkan kedalaman skuad.

Dalam saingan yang semakin kompetitif, memiliki kesebelasan utama yang mantap sahaja tidak mencukupi.

Pasukan perlu mempunyai pemain simpanan berkualiti yang mampu mengambil alih tanggungjawab apabila pemain utama mengalami kecederaan, penggantungan atau keletihan akibat jadual perlawanan yang bertindih.

Kualiti mengatasi kuantiti

Melihat kepada perkembangan tersebut, jendela perpindahan Januari 2027 boleh menjadi medan penting untuk Kuching City menentukan hala tuju pasukan bagi menghadapi baki musim ini.

Tetapi, pengurusan tidak seharusnya teralu terikat dengan sasaran membawa masuk pemain ternama sehingga mengabaikan keperluan sebenar pasukan. Moraes mungkin menjadi pilihan ideal untuk memperkukuh jentera serangan, tetapi sekiranya kos perpindahannya terlalu tinggi, Kuching City perlu bersedia meneroka pilihan lain yang lebih realistik.

Pasaran pemain import mempunyai pelbagai pilihan dan tidak semestinya pemain yang mempunyai nilai pasaran tertinggi mampu memberikan impak paling besar. Apa yang lebih penting ialah mendapat pemain yang sesuai dengan sistem permainan Aidil, mempunyai rekod prestasi yang meyakinkan serta mampu memberikan sumbangan secara konsisten.

Jika keutamaan pasukan ialah memperkukuh serangan, pemain yang mempunyai kemampuan menjaringkan gol, mencipta peluang dan bekerja dalam sistem akan menjadi pertimbangan utama.

Begitu juga posisi lain yang memerlukan penambahbaikan, khususnya mengambil kira jumlah pemain yang sedang mengalami kecederaan. Dalam masa sama, pengurusan perlu memastikan struktur gaji dan komitmen kontrak kekal terkawal bagi mengelakkan masalah kewangan pada masa hadapan.

Tidak ada gunanya membawa masuk pemain berprofil tinggi sekiranya tindakan itu akhirnya menjejaskan kemampuan kewangan kelab menanggungjawab terhadap keseluruhan skuad. Penyokong sememangnya mengharapkan kehadiran pemain baharu yang mampu meningkatkan kekuatan The Cats, lebih-lebih lagi selepas pasukan menunjukkan kemampuan bersaing pada tahap lebih tinggi.

Justeru, para penyokong juga perlu memahami bahawa peminaan pasukan yang kukuh memerlukan perancangan jangka panjang, bukannya keputusan berdasarkan sentimen semata.

Akhirnya, kejayaan jendela perpindahan Januari 2027 bukan diukur berdasarkan berapa ramai pemain terkenal yang berjaya dibawa masuk, sebaliknya sejauh mana pemain baharu mampu meningkatkan prestasi keseluruhan pasukan.

BERITA LAIN

Berundurnya Gibran

PELETAKAN jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden – pengunduran pemimpin muda yang membuka persoalan lebih besar berkaitan kuasa, legasi Jokowi, kedudukan Prabowo dan masa

BERITA TERBARU