MOSCOW: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa risiko bakteria super Klebsiella pneumoniae yang kebal ubat merebak pantas di Kesatuan Eropah (EU) dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) berada pada tahap tinggi.
WHO memaklumkan kepada RIA Novosti bahawa Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menilai kebarangkalian penularan selanjutnya sebagai tinggi, terutama bagi strain yang membawa penanda genetik tahap keganasan lebih tinggi.
Susulan penilaian itu, ECDC pada Rabu mengeluarkan amaran tentang penularan bakteria berbahaya tersebut di Eropah, manakala WHO mengingatkan bahawa bakteria kebal ubat boleh merentas sempadan bersama pesakit.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyatakan penularan dapat diperlahankan melalui pematuhan ketat kawalan jangkitan di hospital, penggunaan antibiotik secara berhemat dan ujian makmal segera seperti dilapor Bernama.
WHO turut menjelaskan bahawa risiko terbesar ialah kehabisan pilihan rawatan, selain pesakit yang menerima antibiotik pertama yang tidak berkesan lebih terdedah kepada kematian di hospital, sementara jangkitan itu memanjangkan tempoh tinggal dan menaikkan kos rawatan serta menjadikan prosedur seperti rawatan rapi, pemindahan organ, rawatan kanser dan penjagaan bayi baru lahir lebih berisiko.



