KUALA LUMPUR: Restoran Banglo289 memilih menggunakan bahan segar dan kaedah masakan gaya lama untuk hidangan tradisional Melayu, walaupun ramai pengusaha lain beralih kepada bahan komersial bagi menjimatkan masa dan kos.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shareen Farzida, menjelaskan restoran itu ditubuhkan pada 2022 di sebuah banglo berusia 100 tahun di Jalan Raja Chulan bagi mengisi kekosongan pasaran yang menawarkan masakan tradisional dalam suasana selesa pada harga berpatutan.
Purata perbelanjaan pelanggan direkodkan sekitar RM30 hingga RM50 seorang bagi setiap kunjungan, merangkumi nasi, lauk-pauk, sayur-sayuran, bubur, pencuci mulut, buah-buahan dan kuih-muih dalam satu set bayaran.
Dalam tempoh empat tahun, jenama itu berkembang kepada empat cawangan di sekitar Lembah Klang, manakala kos santan segar sahaja mencecah RM50,000 sebulan untuk semua premis seperti dilapor Bernama.
Pengarah Pembinaan Perniagaan Banglo289, Datuk Mohd Hafidz Safari Ramli, berkata pasukan penyelidik turun ke negeri seperti Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor untuk mempelajari resipi warisan daripada tukang masak lama, sementara inisiatif Endangered Recipes pula menghidupkan semula sajian yang semakin sukar ditemui.



