SERIAN: Penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan Kerajaan Sarawak.
Program berkenaan turut memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan, selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat menerusi penyampaian maklumat secara langsung.
Suara Sarawak berkesempatan menemui beberapa pengunjung bagi mendapatkan respons mereka mengenai penganjuran SKS, termasuk manfaat program itu dalam membantu masyarakat memahami pelbagai inisiatif kerajaan serta perkembangan pembangunan di sini.
NURHASLINDA CHONG MENG, 30 – Saya boleh mendapat banyak maklumat sekali gus bertanya mengenai bantuan dan inisiatif kerajaan apabila mengunjungi pameran yang disediakan. Melalui program ini juga, saya lebih memahami bantuan yang ditawarkan kepada masyarakat.

HELLEN SAWA, 53 – Penganjuran SKS ini bagus kerana selain mendapatkan maklumat kita juga boleh membuat saringan kesihatan. Pada masa yang sama, kita juga dapat maklumat mengenai pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Serian ini dan pendekatan seumpama ini sangat baik.

MUHAMMAD SHARUL BOHARI – Saya melihat SKS turut membolehkan golongan muda seperti kami mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan. Saya mengambil kesempatan menghadiri program hari ini (21 November) untuk menjalani temu duga sambil memeriahkan penganjuran program ini.

NORASNA SAMAWI, 50 – Dengan maklumat yang jelas dari segi perkhidmatan yang disediakan Kerajaan Sarawak, ia dapat memastikan inisiatif, bantuan dan pembangunan disalurkan dengan lancar sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat. Saya memang memberi sokongan kepada penganjuran program seperti SKS dan berbangga dengan kemajuan di bahagian ini.

KUANG TON, 62 – Bagi masyarakat di kampung, program ini sangat memudahkan kami mengetahui pelbagai peruntukan dan bantuan Kerajaan Sarawak tanpa perlu berkunjung ke pelbagai agensi. Pendekatan ini sekali gus menjimatkan masa serta memudahkan urusan kami.



