SERIAN: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan gabungan itu bersedia menentang mana-mana parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, gabungan itu menyambut baik keputusan dua parti politik dari Semenanjung Malaysia untuk tidak bertanding pada PRU Sarawak ke-13, namun pihaknya sentiasa bersiap sedia menentang siapa sahaja.
“Kalau mereka tidak bertanding, kita ucap terima kasih. Tetapi kalau mereka bertanding, kita lawan,” katanya ketika mengulas perkara itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian 2026 di Pusat Konvensyen Serian, di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, setakat ini hanya dua parti berkenaan yang diketahuinya mengambil pendirian tidak menyertai pilihan raya itu, berdasarkan maklumat yang dibacanya di media sosial.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memberitahu bahawa keadaan Sarawak yang aman dan ditadbir dengan baik menyebabkan parti luar berasa gentar untuk bertanding di negeri ini.
Tegas beliau, kestabilan negeri yang dinikmati ketika ini perlu dipertahankan oleh rakyat Sarawak agar pembangunan dan kemakmuran negeri dapat diteruskan tanpa gangguan pihak luar.
Katanya lagi, terdapat parti yang menyatakan tidak akan bertanding di Sarawak, dan beliau menyifatkan keputusan itu sebagai gambaran keadaan politik negeri yang aman dan stabil.
“Terima kasihlah kerana tidak mahu bertanding di sini. Mereka tidak mahu bertanding kerana tahu negeri kita aman dan diuruskan dengan baik.
“Siapa yang mahu datang, kita akan lawan. Anak Sarawak jangan dicuba kerana budaya Sarawak hanya orang Sarawak yang tahu,” ujarnya.
Dua parti yang tidak bertanding itu ialah Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
BN sebelum ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon di mana-mana kerusi DUN Sarawak, selaras dengan persefahaman antara UMNO dan PBB, seperti diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 15 November lalu.
PAS pula mengesahkan keputusan tidak meletakkan calon pada PRU Sarawak ke-13 pada 19 November lalu selepas mengambil kira perkembangan politik semasa dan beberapa faktor lain, menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
PRU Sarawak ke-13 menyaksikan 82 kerusi DUN dipertandingkan, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember ini.



