ARTIKEL

RM1.291 bilion: Serian cadang projek jalan raya dan bekalan air

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Pelaksanaan projek menaik taraf jaringan jalan raya dan memperkukuh sistem bekalan air dengan anggaran kos keseluruhan RM1.291 bilion merupakan antara aspirasi utama warga Serian yang diangkat untuk perhatian Kerajaan Sarawak.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, warga Serian menghargai perhatian dan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan yang dilaksanakan di bahagian berkenaan.

Sagah menyantuni sekali gus bersalaman dengan tetamu yang hadir di SKS Bahagian Serian. F: RAMIDI SUBARI

Bagaimanapun, katanya, usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur di kawasan itu perlu diteruskan menerusi beberapa cadangan projek yang diangkat sebagai aspirasi rakyat untuk dipertimbangkan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam perancangan pembangunan.

“Antara cadangan tersebut ialah projek Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 3 sepanjang sembilan kilometer (km) dengan anggaran kos RM160 juta yang akan melengkapkan jajaran Temong-Tepoi-Sadir-Annah Rais sekali gus menghubungkan Daerah Tebedu, Serian, ke Daerah Kecil Padawan, Kuching.

“Selain itu, jajaran Jalan Padawan Fasa 2 sepanjang 15 km turut dicadangkan bagi melengkapkan keseluruhan jajaran Jalan Padawan mengikut standard JKR R-3, dengan anggaran kos RM126 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Perasmian Program SarawakKu Sayang (SKS) 2026 Bahagian Serian di perkarangan parkir Pusat Konvensyen Serian, hari ini.

Mengulas lanjut, Roland menambah, aspirasi warga Serian turut merangkumi empat projek bekalan air dengan anggaran kos keseluruhan RM1.005 bilion.

Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pembangunan sumber air mentah bagi Sistem Bekalan Air Wilayah Serian bernilai RM200 juta serta kerja penambahbaikan dan naik taraf Sistem Bekalan Air Serian yang dianggarkan menelan kos RM700 juta.

Jelasnya, dua lagi projek membabitkan kerja penambahbaikan dan naik taraf Sistem Bekalan Air Tebedu dengan anggaran kos RM70 juta serta Sistem Bekalan Air Bunan sebanyak RM35 juta.

“Keempat-empat projek ini telah dikemukakan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk dipertimbangkan kelulusan.

“Impak projek ini amat besar terutama dalam meningkatkan kelangsungan bekalan air jangka panjang di Serian, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan loji rawatan air, dan memastikan bekalan air terawat yang mencukupi, stabil dan berterusan kepada pengguna,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa sokongan berterusan Kerajaan Sarawak dan kepimpinan Premier akan memastikan aspirasi berkenaan terus diberi perhatian serta dipertimbangkan dalam perancangan pembangunan negeri pada masa hadapan.

“Kami percaya, dengan sokongan berterusan Kerajaan Sarawak dan kepimpinan Premier, aspirasi ini dapat terus diberi perhatian dan dipertimbangkan dalam perancangan pembangunan negeri pada masa hadapan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Bahagian Serian,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Buli tanggungjawab bersama warga sekolah

BENGOH: Usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada gejala buli perlu menjadi tanggungjawab bersama seluruh warga sekolah supaya murid dapat belajar serta