KUCHING: Jambatan Sejingkat bukan sekadar menghubungkan dua kawasan yang dipisahkan Sungai Sarawak, malah membuka laluan kepada pembentukan koridor ekonomi baharu yang bakal merancakkan pembangunan Kuching, Samarahan dan kawasan pesisir.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan jambatan itu sebahagian daripada strategi kerajaan negeri memperkukuh jaringan perhubungan, sekali gus merapatkan kawasan pesisir yang mempunyai potensi ekonomi dan jumlah penduduk yang besar.
Tegasnya, kesalinghubungan yang semakin baik membolehkan perjalanan dari Samarahan diteruskan ke Sebuyau, Lingga dan Betong menerusi jaringan jalan raya termasuk Jalan Utama Kedua.

“Daripada kawasan Samarahan, kita boleh terus ke Sebuyau dan melalui Jalan Utama Kedua, kita boleh pergi ke Lingga sebelum meneruskan perjalanan ke Betong.
“Ini bermakna kita merapatkan kawasan-kawasan di pesisir yang mempunyai jumlah penduduk yang banyak,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, malam tadi.
Pada masa yang sama, Abang Johari memberitahu pembangunan rangkaian jambatan dan jalan raya di kawasan pesisir turut membuktikan kesannya terhadap ekonomi penduduk, khususnya apabila hasil pertanian dan perikanan mempunyai akses yang lebih luas kepada pasaran.
Beliau mengambil contoh hasil laut dari Pulau Bruit yang sebelum ini dijual sekitar RM65 sekilogram, tetapi meningkat kepada RM95 sekilogram susulan kemudahan perhubungan yang lebih baik.
Jelasnya, peningkatan akses turut memberi manfaat kepada komuniti nelayan di Sebuyau apabila kegiatan perikanan berpotensi berkembang hasil kemudahan pengangkutan yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan pasaran lebih luas.
Menurutnya lagi, jaringan jambatan yang dibangunkan kerajaan negeri membentuk satu laluan pembangunan ekonomi pesisir, termasuk hubungan dari Batang Lupar ke Pusa, seterusnya ke Sarikei, Belawai, Daro, Igan dan Mukah.
Beliau turut menegaskan bahawa semua jambatan yang dibangunkan kerajaan negeri boleh digunakan secara percuma tanpa dikenakan tol, sekali gus mengurangkan beban perjalanan penduduk.
Dalam pada itu, Jambatan Sejingkat sepanjang 1,281.2 meter yang menghubungkan Sejingkat dengan Tanjung Bako dibina menerusi projek Pakej D3A Cadangan Jalan Utama Kedua Kuching-Samarahan dengan kos kontrak RM365.74 juta.
Jambatan berstruktur kabel penahan itu mempunyai tiga rentang utama sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter, selain menyediakan laluan navigasi sungai selebar 200 meter dengan kelegaan menegak 26 meter.
Pembukaannya turut menyediakan laluan alternatif antara Kuching dan Samarahan, sekali gus dijangka membantu mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan, khususnya pada waktu puncak.
Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur berkenaan ialah pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang kerana kemudahan perhubungan yang baik membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan pendapatan masyarakat.


