KUALA LUMPUR: Kumpulan rock Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), kembali beraksi di Stadium Nasional TM, Bukit Jalil malam tadi selepas 19 tahun, sekali gus mengubat kerinduan peminat setia.
Bagi ramai penonton yang masih remaja ketika MCR menyanyi di Stadium Merdeka pada Disember 2007, malam pembukaan konsert dua hari jelajah The Black Parade 2026 itu membawa mereka kembali ke zaman penting dalam hidup.

Sejak pintu dibuka pada 4.30 petang, peminat berbusana serba hitam bertema emo dan gotik, ada yang berpakaian seragam pancaragam The Black Parade serta gaun hitam dan merah ala Helena, memeriahkan suasana di luar stadium.
Kumpulan rap-rock tempatan Pop Shuvit, yang pernah membuka konsert sulung MCR di Malaysia 19 tahun lalu, memanaskan pentas sekitar 7.15 malam sebelum Gerard Way, Ray Toro, Frank Iero dan Mikey Way muncul sejurus selepas 8.30 malam.
MCR mempersembahkan keseluruhan album The Black Parade dari awal hingga akhir, kemudian meneruskan set kedua berisi lagu kegemaran peminat, sebelum menutup malam itu dengan Demolition Lovers, manakala 120,000 tiket bagi dua malam konsert itu habis dijual dalam tempoh 90 minit seperti dilapor Bernama.


