TATAU: Seramai 507 petugas pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N60 Kakus mengikuti taklimat persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 selama dua hari sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan mereka bagi memastikan kelancaran proses pengundian.
Taklimat yang berlangsung pada 19 hingga 20 November itu diadakan di khemah modular di perkarangan Pejabat Daerah Tatau.

Pengurus Pilihan Raya N60 Kakus, Calvin Ligong Bujang@Endawie berkata, taklimat berkenaan bertujuan memberikan pendedahan dan pemahaman menyeluruh kepada petugas mengenai bidang tugas, tanggungjawab serta prosedur yang perlu dipatuhi sepanjang proses pilihan raya.
Menurutnya, kesemua 507 petugas berkenaan akan ditempatkan di 32 pusat mengundi di seluruh kawasan DUN N60 Kakus bagi membantu mengendalikan urusan pilihan raya dan memastikan proses pengundian berjalan lancar serta teratur.
Taklimat berkenaan, katanya, antara persediaan penting bagi memastikan setiap petugas memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, selain mempunyai pengetahuan mencukupi untuk melaksanakan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan.
Tambahnya, kesiapsiagaan petugas, khususnya dari segi pematuhan prosedur, disiplin, integriti dan profesionalisme, amat penting bagi memastikan setiap urusan berkaitan pengundian dapat dilaksanakan dengan teratur.
Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan taklimat tersebut dapat meningkatkan tahap kefahaman dan kecekapan semua petugas, sekali gus menyumbang kepada pengurusan PRU Sarawak yang lebih sistematik dan lancar, khususnya di kawasan DUN N60 Kakus.
Turut hadir Penolong Pengurus Pilihan Raya (Pentadbiran) merangkap Penolong Pegawai Daerah Tatau, Winnie Dian, serta kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


