KUALA LUMPUR: UNICEF menggesa kerajaan, masyarakat dan sektor perniagaan menjadikan komitmen terhadap hak kanak-kanak sebagai tindakan nyata, termasuk perkhidmatan mudah diakses, ruang digital lebih selamat dan perlindungan daripada risiko perubahan iklim.
Dalam kenyataan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia pada Jumaat, agensi itu turut menyeru supaya kanak-kanak diutamakan dalam perbelanjaan awam dan pandangan mereka diambil kira dalam keputusan yang menyentuh kehidupan mereka.
Menurut UNICEF, syarikat teknologi perlu menilai risiko terhadap kanak-kanak serta menyediakan ciri keselamatan, privasi dan mekanisme pelaporan, manakala pihak berkuasa kebangsaan dan tempatan pula perlu memperkukuh kesiapsiagaan iklim.
Wakil UNICEF ke Malaysia, Robert Gass, menegaskan semula komitmen bersama mempertahankan hak kanak-kanak yang di Malaysia dikenali sebagai Janji Kita, iaitu janji yang dibuat bersama dan terserlah dalam detik kecil kehidupan seharian mereka.
Sempena gerakan global Go Blue, beberapa bangunan dan mercu tanda di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak diterangi cahaya biru, manakala UNICEF Malaysia menganjurkan Festival Hak selama dua hari bermula 20 Nov di KLGCC Mall seperti dilapor Bernama.


