KUCHING: Pelaksanaan 22 projek jambatan mega bernilai RM6.55 bilion di seluruh Sarawak meletakkan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai tokoh utama di sebalik transformasi jaringan perhubungan negeri, sekali gus mencetuskan gelaran “Raja Jambatan”.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan berskala besar itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh hubungan antara kawasan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memberi kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.
Menurutnya, daripada keseluruhan 22 jambatan mega berkenaan, 21 dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, manakala sebuah lagi di Lawas dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
“Kesemua jambatan ini dibina menggunakan sumber kewangan Sarawak sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat yang disempurnakan oleh Abang Johari, di sini, malam tadi.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, Jambatan Sejingkat ialah jambatan mega ke-12 yang disiapkan menerusi program pembinaan jambatan utama JKR Sarawak.
Jelasnya, setakat ini, 14 daripada keseluruhan 22 jambatan mega di bawah program berkenaan siap dibina dan dibuka kepada pengguna.
Beliau menyifatkan pembangunan jaringan jambatan itu sebagai perubahan besar kepada sistem perhubungan Sarawak, khususnya apabila perjalanan darat dari Kuching ke Miri kini tidak lagi memerlukan perkhidmatan feri di laluan yang sudah dihubungkan dengan jambatan.
“Perkhidmatan feri kini menjadi sejarah di Sarawak. Ia sudah menjadi perkara masa lalu dan hanya tinggal dalam muzium,” katanya.
Menurut Uggah, pembangunan infrastruktur berkenaan turut mencerminkan usaha kerajaan negeri memastikan kemudahan asas dan jaringan perhubungan berkembang seiring dengan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Bagaimanapun, beliau mengakui peningkatan pembangunan dan jumlah kenderaan, khususnya di Kuching dan Kota Samarahan, turut menuntut perancangan lebih menyeluruh bagi menangani kesesakan lalu lintas.
Katanya, Abang Johari mengarahkan JKR Sarawak mengambil langkah yang sesuai bagi mengurangkan kesesakan di kedua-dua kawasan berkenaan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menaik taraf lima bulatan di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan kepada persimpangan berlampu isyarat serta membuka Jalan Akses Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada September 2025.
Selain itu, kerja menaik taraf Jalan Setong, Pending dari dua kepada empat lorong sudah dimulakan, manakala projek pembinaan jejambat Batu Lapan di Jalan Kuching-Serian kini bersedia untuk ditender selepas reka bentuknya disiapkan.
Uggah turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak akan meneruskan pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), termasuk perkhidmatan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen menerusi Laluan Biru yang menghubungkan Kota Samarahan dengan Kuching.
Beliau menyifatkan projek itu sebagai antara penyelesaian penting bagi menangani peningkatan aliran trafik antara kedua-dua kawasan berkenaan.


