ARTIKEL

Tanjung Embang tarik pelaburan Jepun AS$1 bilion untuk Kampus AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tanjung Embang bakal menjadi tumpuan pelaburan teknologi tinggi selepas pelabur Jepun memuktamadkan komitmen modal permulaan AS$1 bilion (kira-kira RM4.07 bilion) bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pengeluaran cip berteknologi tinggi di kawasan itu.

Pelaburan strategik berkenaan berpotensi berkembang sehingga AS$50 bilion, sekali gus membuka ruang kepada Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor dan teknologi data pintar.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan itu susulan lawatan kerja singkat beliau ke Tokyo, Jepun, Isnin lalu bagi memuktamadkan pelaburan berkenaan bersama pihak pelabur.

Menurutnya, pelabur memilih Sarawak selepas menjalankan kajian menyeluruh terhadap potensi negeri ini, termasuk keupayaan menyediakan bekalan tenaga dan air yang diperlukan bagi menyokong operasi industri berteknologi tinggi.

“Kita hendak membangunkan Kampus AI di Tanjung Embang dan pelabur dari Jepun sudah memuktamadkan modal permulaan AS$1 bilion.

“Pelaburan itu berpotensi meningkat sehingga AS$50 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Sejingkat di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu bahawa dasar pendidikan percuma kepada anak Sarawak di peringkat universiti turut menjadi antara faktor penting yang menarik minat pelabur kerana industri berkenaan memerlukan ramai saintis serta pakar dalam bidang fizik dan kimia.

Katanya, pembangunan teknologi data pintar yang semakin mendapat permintaan global memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus membuka peluang pekerjaan profesional dengan pendapatan lebih lumayan kepada anak Sarawak.

Beliau menjelaskan bahawa perkembangan industri semikonduktor turut membuktikan keupayaan Sarawak membangunkan teknologi sendiri apabila cip keluaran negeri ini digunakan dalam produk meter oleh syarikat dari China, Luoyang.

Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu mempergiat usaha melatih lebih ramai jurutera tempatan bagi memenuhi keperluan pelaburan industri yang semakin berkembang, termasuk dalam sektor pembuatan cip dan teknologi AI.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, Sarawak turut meneliti pembangunan pelabuhan baharu di kawasan perairan lebih dalam bagi menampung pertumbuhan perdagangan dan eksport pada masa depan.

Katanya, masalah pemendapan di muara Sungai Sarawak menyebabkan kerja pengorekan perlu dilakukan berulang kali dengan kos yang boleh mencecah RM400 juta, justeru pembangunan pelabuhan baharu perlu dinilai dari sudut manfaat dan kos jangka panjang.

Tambah beliau, pelabuhan berkenaan berpotensi dibangunkan di kawasan yang mempunyai kedalaman melebihi 14 meter bagi membolehkan kapal bersaiz besar berlabuh dan meningkatkan keupayaan eksport negeri.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang membangunkan keupayaan teknologi angkasa melalui penghasilan satelit kecil jenis CubeSat atau NanoSat, dengan melibatkan kepakaran jurutera tempatan.

“Usaha memperkukuh industri berteknologi tinggi termasuk pembangunan AI, semikonduktor dan teknologi angkasa memerlukan pelaburan dalam pendidikan serta pembangunan modal insan bagi memastikan anak Sarawak mampu mengisi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU