KUCHING: Bukan sekadar menerangi langit malam, 1,000 dron yang terbang serentak di ruang udara Jambatan Sejingkat malam tadi membawa mesej penghargaan tersendiri dengan membentuk potret Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, diikuti tulisan “Thank You Bang Jo” yang mencuri perhatian ribuan penonton.

Persembahan cahaya berskala besar itu menjadi antara kemuncak sambutan perasmian Jambatan Sejingkat apabila susunan dron berwarna-warni membentuk pelbagai imej dan tulisan, termasuk mesej “Sarawak 22 Bridges” yang menggambarkan pencapaian pembangunan infrastruktur negeri.
Lebih daripada sekadar pertunjukan teknologi dan kreativiti, persembahan berkenaan melambangkan penghargaan terhadap kepimpinan Abang Johari serta perjalanan transformasi Sarawak, khususnya dalam memperkukuh jaringan perhubungan melalui pembinaan jambatan di seluruh negeri.
Kemunculan potret Abang Johari di ruang udara, disusuli ungkapan “Thank You Bang Jo”, menjadi detik paling menarik perhatian apabila orang ramai mengambil peluang merakam persembahan berkenaan menggunakan telefon bimbit dan kamera masing-masing.


Kemeriahan persembahan itu memukau pengunjung yang hadir menyaksikan detik bersejarah tersebut.
Persembahan dron berkenaan diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang menyinari ruang udara sekitar jambatan, sekali gus melengkapkan kemeriahan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Abang Johari.
Jambatan Sejingkat sepanjang 1.281 kilometer yang dibina dengan kos RM365.74 juta itu menghubungkan Sejingkat dan Tanjung Bako, sekali gus menyediakan laluan alternatif antara Kuching dan Samarahan.
Jambatan empat lorong dua hala itu menggunakan reka bentuk kabel penahan dengan menara konkrit setinggi 119 meter yang turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai menara konkrit berbentuk berlian dalam satah tertinggi di Malaysia.

Pembangunan Jambatan Sejingkat turut mencerminkan usaha Sarawak memperkukuh jaringan perhubungan apabila negeri ini melaksanakan pembinaan 22 jambatan di seluruh negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan dan meningkatkan kemudahan pergerakan rakyat.

