BENGOH: Usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada gejala buli perlu menjadi tanggungjawab bersama seluruh warga sekolah supaya murid dapat belajar serta membesar dalam suasana kondusif.
Perkara itu ditekankan oleh Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Puncak Borneo, Peter Apit semasa merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 Sekolah Kebangsaan (SK) Bengoh yang berlangsung meriah dengan tema ‘Splash Party’, di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan murid perlu berganding bahu membanteras segala bentuk perlakuan buli, sama ada secara fizikal, lisan, ugutan, pemulauan mahupun menerusi media sosial.
Menurutnya, sekolah bukan sekadar institusi untuk menimba ilmu, malah berperanan penting membentuk sahsiah, disiplin dan keperibadian generasi muda agar menjadi individu berilmu serta mempunyai nilai moral yang tinggi.
Sehubungan itu, murid turut diingatkan supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan guru, menyayangi rakan serta mengamalkan nilai kesopanan dalam kehidupan seharian.
Beliau menegaskan setiap murid berhak menikmati suasana persekolahan yang selamat dan menggembirakan tanpa berdepan sebarang bentuk gangguan atau intimidasi.
Sementara itu, sambutan bertemakan ‘Splash Party’ berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan permainan yang dirancang khusus bagi memberikan pengalaman menyeronokkan kepada murid.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Mini Kids vs Giant Kids, Water War dan Burung Cari Makanan yang bukan sahaja menceriakan suasana, malah menggalakkan interaksi sosial, kerjasama berpasukan, keyakinan diri serta semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Aspek keselamatan turut diberikan perhatian sepanjang aktiviti berlangsung, khususnya ketika permainan air, bagi memastikan penyertaan murid berjalan lancar dan terkawal.
Pada majlis itu, Peter turut menyampaikan sebuah papan pintar sumbangan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, kepada pihak sekolah sebagai usaha menyokong peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi penggunaan teknologi moden.
Beliau berharap kemudahan itu dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih interaktif, kreatif dan berkesan, selain memberi peluang kepada murid mengikuti perkembangan teknologi digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pendidikan.
Sambutan Hari Kanak-Kanak 2026 itu bukan sahaja menjadi ruang untuk meraikan kegembiraan dan hak kanak-kanak, malah memperkukuh kesedaran tentang kepentingan pembentukan sahsiah, amalan nilai murni serta tanggungjawab bersama dalam memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk semua.

