ARTIKEL

Kesejahteraan petugas kesihatan perlu diberi perhatian – Dr Sim

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesejahteraan mental, emosi dan kerohanian petugas kesihatan perlu diberi perhatian bagi memastikan mereka mampu menyampaikan perkhidmatan berkualiti tanpa berdepan tekanan melampau dan kelesuan kerja.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, persekitaran kerja bertekanan tinggi seperti di hospital menuntut petugas kesihatan bukan sahaja memiliki kecekapan klinikal, malah kekuatan dalaman dan daya tahan emosi.

Wee mewakili Dr Sim pada Program Nilai dalam Penjagaan Kesihatan: Pendekatan Kerohanian (VIHASA) untuk jururawat HUS, di Kuching, hari ini. Foto: GHAZALI BUJANG

Menurutnya, aspek kemanusiaan dalam perkhidmatan kesihatan sama penting dengan kemajuan teknologi perubatan dan pelaksanaan tatacara klinikal bagi memastikan kesejahteraan pesakit.

“Sebagai individu yang sudah menghabiskan puluhan tahun dalam amalan klinikal, saya memahami ketika mendedikasikan kehidupan untuk merawat orang lain, kita jarang bertanya, siapakah yang menjaga mereka yang memberikan penjagaan?

“Dalam persekitaran bertekanan tinggi seperti di Hospital Umum Sarawak (HUS), kita mudah terperangkap dalam keadaan sekadar bertahan menghadapi tuntutan tugas, bukannya berkembang dengan baik.

“Perubatan bukan sekadar mengenai tatacara klinikal dan teknologi, tetapi turut berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng semasa merasmikan Program Nilai dalam Penjagaan Kesihatan: Pendekatan Kerohanian (VIHASA) untuk jururawat HUS, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, program tersebut berperanan mengisi aspek penting dalam sistem penjagaan kesihatan moden dengan memberikan penekanan kepada penjagaan diri dan pengukuhan daya tahan emosi dalam kalangan petugas kesihatan.

Wee mewakili Dr Sim pada Program Nilai dalam Penjagaan Kesihatan: Pendekatan Kerohanian (VIHASA) untuk jururawat HUS, di Kuching, hari ini. Foto: GHAZALI BUJANG

“Apabila kita meletakkan petugas kesihatan sebagai keutamaan dalam aspek penjagaan diri dan pengukuhan kekuatan dalaman, mutu penjagaan pesakit secara semula jadi akan meningkat.

“Pendekatan kerohanian dalam konteks ini adalah mengenai usaha memanfaatkan ketenangan dalaman, pemikiran positif dan sifat belas ihsan bagi menangani tekanan serta kelesuan kerja,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, seramai 52 peserta program berkenaan diharap dapat memanfaatkan pengalaman tersebut untuk menghayati semula nilai asas serta menyemarakkan semula semangat yang mendorong mereka menceburi bidang penjagaan kesihatan.

“Jadikan ketenangan dalaman yang diperbarui itu sebagai sumber kekuatan dan pemulihan kepada rakan sekerja, pesakit serta masyarakat Sarawak secara keseluruhannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Brahma Kumaris atas inisiatif menganjurkan sesi meditasi selama satu jam pada setiap Khamis di Dewan Doa Pelbagai Agama HUS sejak 2025.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan menyemai pemikiran positif, perasaan murni dan niat baik bukan sahaja kepada pesakit, doktor serta kakitangan hospital, malah kepada seluruh masyarakat.

Hadir sama Pengarah HUS, Dr Ngian Hie Ung; Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Kumpulan TSG, Datuk Chris Chung; Ketua Jabatan Kerohanian dan Kesejahteraan Hospital Global dan Pusat Penyelidikan, Mount Abu, India, Kalpana Bhandare; serta Ketua Perkhidmatan Kejururawatan Hospital Global J.W., Mount Abu, India, Rupa Upadhye.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU