ARTIKEL

GKCDA lulus 531 projek bernilai RM1.5 bilion sejak 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Pembinaan kampus baharu Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Teng Bukap, Siburan dengan peruntukan awal RM4 juta menerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) bakal meluaskan akses pendidikan dan latihan kemahiran kepada masyarakat.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek ini berada dalam fasa akhir perancangan dan dijangka dilaksanakan pada suku pertama 2027.

“Projek ini bertujuan untuk memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta memperkasakan komuniti tempatan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program SarawakKu Sayang (SKS) 2026 Bahagian Serian di perkarangan parkir Pusat Konvensyen Serian, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu GKCDA itu memaklumkan bahawa sejak 2023 sehingga 15 Oktober 2026, portfolio pembangunan GKCDA merangkumi 531 projek dengan nilai peruntukan keseluruhan RM1.5 bilion.

Jelasnya, angka ini menggambarkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan asas, meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperkukuh ekonomi rakyat.

Katanya, daripada keseluruhan projek tersebut, 412 projek melibatkan sektor infrastruktur dengan peruntukan RM973.6 juta, merangkumi pembangunan dan naik taraf jalan raya, kemudahan asas serta infrastruktur sokongan.

Selain itu, jelasnya, 89 projek sektor sosial menerima peruntukan RM177.8 juta, dengan tumpuan kepada kemudahan masyarakat, kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosial.

“Sektor ekonomi pula merangkumi 26 projek dengan peruntukan RM332.1 juta bagi merangsang aktiviti ekonomi, memperkukuh peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat.

“Empat lagi projek dikategorikan sebagai lain-lain dengan peruntukan RM7.3 juta. Jelas sekali, pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja tertumpu kepada infrastruktur fizikal, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan sosial dan pengukuhan ekonomi masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa melalui GKCDA juga, lapan projek pelancongan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM47.92 juta dikenal pasti untuk memperkukuh sektor pelancongan di Serian.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa pembinaan Kompleks Ekonomi dan Kebudayaan Tebedu yang diluluskan di bawah peruntukan GKCDA berjumlah RM50 juta dijangka siap pada 2029.

“Selain itu, projek pembinaan infrastruktur pertanian dan pusat pengumpulan serta pemprosesan jagung bijian di Kampung Labak Tungan, Serian, bernilai RM11.1 juta melibatkan kawasan tanaman seluas 40 hektar dan dijangka meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

“Selain itu, GKCDA telah meluluskan peruntukan RM55 juta bagi Projek New Balai Ringin Satellite Township yang kini di peringkat perancangan. Projek ini dijangka merancakkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk kawasan itu,” tegasnya.

Beliau berkata, industri penternakan di Serian menyumbang 25 peratus daripada keseluruhan nilai produk ternakan Sarawak berjumlah RM4.142 bilion pada 2025.

Jelasnya lagi, bahagian ini bukan sahaja berpotensi dalam sektor pelancongan, malah turut menyumbang kepada keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Antara lain, projek berimpak tinggi di bawah peruntukan GKCDA juga ialah pembinaan Pusat Pembangunan Desa Kawasan Bunan-Mongkos, Daerah Tebedu, bernilai RM25 juta yang kini dalam perancangan,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU